BELANJAWAN 2025 > BERITA

Elaun Guru Al-Quran Di Kelantan Dinaikkan RM270 Sebulan

21/11/2024 06:44 PM

KOTA BHARU, 21 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri bersetuju menaikkan elaun lebih 3,000 guru al-Quran dan fardu ain daripada RM200 kepada RM270 sebulan bermula tahun hadapan, kata Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau yang membentangkan Belanjawan Kelantan 2025 di Kota Darulnaim, di sini hari ini, berkata pengelola, pegawai dan pembantu dakwah Halaqat kawasan masing-masing juga bakal menikmati kenaikan elaun sebanyak RM300 bermula Jan 2025.

Mohd Nassuruddin berkata kenaikan itu menjadikan elaun pengelola dakwah Halaqat berjumlah RM1,850 sebulan tahun depan manakala pegawai Halaqat menerima RM1,200 dan pembantu Halaqat pula RM900.

“Keseluruhannya kerajaan Kelantan memperuntukkan RM21.11 juta untuk bayaran elaun tenaga pengajar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dalam pembentangan Belanjawan 2025,” katanya ketika pembentangan belanjawan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Beliau berkata kenaikan itu mengambil kira peranan penting dakwah Halaqat serta guru al-Quran dan fardu ain dalam aspek pengukuhan kefahaman agama kepada masyarakat.

Sementara itu, Mohd Nassuruddin berkata RM154.08 turut diperuntukkan bagi emolumen kakitangan tetap di negeri ini mengambil kira pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dan tambahan RM12.5 juta bagi tujuan pengisian penuh perjawatan di jabatan-jabatan negeri sehingga 85 peratus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan