BELANJAWAN 2025 > BERITA

Duta Malaysia Seru Konservasi Berteraskan Komuniti Di Forum Datuk Bandar Asia Di Iran

22/11/2024 12:14 AM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Duta Besar Malaysia ke Iran Khairi Omar, pada Khamis menekankan kepentingan konservasi berteraskan komuniti dalam menangani cabaran alam sekitar global, dengan merujuk kepada model kejayaan konservasi di Malaysia.

Bercakap di Forum Datuk Bandar Asia di Khorramabad, Iran, Khairi menjelaskan konsep konservasi berteraskan komuniti, pendekatan yang melibatkan penyertaan komuniti setempat dalam pengurusan dan perlindungan sumber semula jadi mereka.

Mengambil contoh Cameron Highlands sebagai model unggul, beliau berkata penglibatan komuniti telah membawa kepada kejayaan konservasi termasuk membanteras penebangan hutan, mempromosikan penggunaan tanah yang mampan dan memelihara sumber air, yang memberi manfaat kepada penduduk setempat serta ekosistem sekitar.

Menghubungkan persamaan antara Cameron Highlands dan Khorramabad, Khairi menyatakan bahawa kedua-dua kawasan itu kaya dengan sumber semula jadi seperti pergunungan, hutan dan sumber air.

"Khorramabad, sama seperti Cameron Highlands, berdepan cabaran alam sekitar seperti penebangan hutan, hakisan tanah dan kekurangan air.

"Cabaran ini memberikan peluang kepada komuniti setempat untuk mengguna pakai kaedah konservasi berteraskan komuniti bagi menangani isu-isu alam sekitar di kawasan itu dengan berkesan," katanya.

Khairi menekankan bahawa dengan melibatkan petani, komuniti Orang Asli dan pihak berkepentingan, Khorramabad boleh mengadaptasi kaedah konservasi berteraskan komuniti untuk melindungi ekosistem dan memastikan kelestarian sumber semula jadi mereka.

"Bagi Malaysia dan Iran, memperkasakan komuniti dalam pengurusan sumber semula jadi adalah penting untuk mencapai kelestarian alam sekitar jangka panjang," katanya.

"Pengalaman Malaysia dalam konservasi berteraskan komuniti menyediakan pelajaran berharga yang boleh disesuaikan oleh Khorramabad mengikut konteks uniknya.

"Dengan melibatkan komuniti setempat, menjalin kerjasama antarabangsa dan melaksanakan program pendidikan, kedua-dua kawasan boleh bekerjasama melindungi sumber semula jadi mereka dan mengurangkan impak perubahan iklim," tambahnya.

Khairi turut menegaskan kepentingan kerjasama antarabangsa dan perkongsian awam-swasta dalam menangani cabaran alam sekitar.

Beliau merujuk kepada penyertaan Malaysia dalam usaha konservasi global melalui inisiatif seperti rangka kerja alam sekitar ASEAN, kerjasama dengan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), serta fokus negara terhadap pertanian berdaya tahan iklim, perhutanan mampan dan perancangan bandar mesra alam sebagai strategi mengurangkan kesan iklim.

Selain itu, beliau membincangkan kejayaan Malaysia mempromosikan pendidikan alam sekitar melalui program seperti inisiatif Eco-Schools, yang menggalakkan golongan muda terlibat dalam projek kelestarian.

Duta itu mengulangi komitmen Malaysia untuk menyokong Iran dalam menangani cabaran ekologi sambil memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.

Beliau menyeru agar visi bersama bagi pengurusan sumber yang mampan diwujudkan dan meminta semua pihak berkepentingan-kerajaan, komuniti setempat, perniagaan serta individu - untuk  mengambil bahagian secara aktif dalam usaha pemuliharaan.

"Kejayaan konservasi berteraskan komuniti bergantung kepada penglibatan aktif semua pihak berkepentingan. Marilah kita komited untuk bekerjasama, memanfaatkan pengalaman dan kepakaran bersama demi membina masa depan yang lebih lestari dan berdaya tahan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan