BELANJAWAN 2025 > BERITA

JPBD Kampar Benarkan Semula Aktiviti Riadah Dan Sukan Air

22/11/2024 08:41 PM

IPOH, 22 Nov (Bernama) -- Aktiviti riadah dan sukan air di daerah Kampar dibenarkan beroperasi semula mulai esok.

Pegawai Daerah Kampar Nazrul Fazami Mohamad berkata bagaimanapun, semua pengusaha aktiviti berkenaan perlu mematuhi Garis Panduan Pengoperasian Aktiviti Riadah dan Sukan Air yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kampar.

“Sepertimana semua sedia maklum, semua aktiviti riadah dan sukan air ini telah dihentikan serta-merta sebelum ini disebabkan fenomena air besar (kepala air) di Sungai Jahang yang telah meragut tiga nyawa.

“Susulan itu, beberapa sesi pertemuan telah diadakan wakil JPBD Kampar bersama pengusaha terlibat, dan hasilnya satu garis panduan telah diwujudkan sebagai panduan pengusaha terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 16 Nov lepas, tiga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) lemas dihanyutkan kepala air ketika terlibat dalam aktiviti rakit arus deras di Sungai Jahang dekat Gopeng.

Kesemua mangsa yang merupakan peserta program pengukuhan kerja berpasukan itu dipercayai terjatuh selepas bot dinaiki mereka terbalik akibat kepala air dan lemas dibawa arus deras.

Sementara itu, salah seorang pengusaha aktiviti riadah dan sukan air Mohd Shah Rizal Mohd Yasin, 39, berkata dia menyambut baik keputusan JPBD Kampar membenarkan aktiviti berkenaan dijalankan semula mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Beliau berkata ini kerana aktiviti berkenaan telah menjadi antara sumber mata pencarian utamanya di kawasan itu sejak sembilan tahun lepas.

“Bukan saya sahaja, malah 21 pengusaha yang mengusahakan aktiviti sama di kawasan Gopeng dan Kampar begitu lega dengan keputusan yang dibuat JBPD Kampar ini selepas seminggu terpaksa menutup operasi.

“Dengan keputusan yang dibuat juga, kami boleh kembali menjana pendapatan sepertimana kebiasaan selain berjanji akan mematuhi garis panduan ditetapkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan