MELAKA, 22 Nov (Bernama) -- Sebanyak empat projek sedang dan bakal dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka di beberapa lokasi pesisir pantai negeri ini bagi mengurangkan risiko banjir berikutan fenomena air pasang besar.
Pengarah JPS Melaka Dr Muhammad Khairudin Khalil berkata ia melibatkan dua projek fenomena air pasang besar iaitu di Alai Perdana dan Pantai Siring bagi kerja-kerja pembaikan ban pantai.
"Dua lagi ialah projek kawalan hakisan pantai di Pantai Tanjung Bidara yang telah dilaksanakan awal tahun ini, manakala untuk Pantai Puteri, kita sedang menunggu kelulusan daripada kementerian.
"Kesemua ini adalah peruntukan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Muhammad Khairudin berkata fenomena air pasang besar kebiasaannya berlaku sebanyak tiga kali dalam tempoh sebulan, meliputi sepanjang pesisir pantai negeri ini bermula dari perairan Sungai Linggi hingga ke Sungai Kesang di Sungai Rambai.
Beliau berkata pada tahun ini, bacaan paras tertinggi air pasang besar yang direkodkan di Melaka adalah setinggi 2.26 meter berbanding 2.25 meter pada tahun lepas.
"Justeru JPS melakukan pemantauan berterusan di kawasan berisiko terutamanya di kawasan rendah dan berisiko dilanda banjir akibat fenomena berkenaan di samping mengambil pelbagai langkah pencegahan bagi mengatasi masalah itu," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga mengenal pasti sebanyak 124 lokasi di negeri ini sebagai kawasan ‘titik panas' banjir berikutan mengalami kekerapan bencana itu yang tidak kurang tiga kali dalam tempoh tiga tahun terkini.
Beliau seterusnya berkata ia membabitkan 59 kawasan di daerah Melaka Tengah, Jasin (42 lokasi) dan Alor Gajah (23 lokasi) yang juga turut berisiko dinaiki air sama ada disebabkan banjir kilat atau paras air sungai melimpah akibat hujan lebat.
"Sebanyak 14 siren amaran banjir terdapat di Melaka terutamanya di lokasi yang berisiko tinggi berlaku banjir bagi memberi amaran kepada penduduk supaya peka dengan keadaan kawasan mereka jika dinaiki air," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial