BELANJAWAN 2025 > BERITA

Integriti Nilai Utama Penjawat Awam

23/11/2024 07:27 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Integriti, ketelusan, dan kebertanggungjawaban antara nilai utama yang perlu dimantapkan dalam kalangan penjawat awam untuk menghadapi cabaran semasa dan merealisasikan aspirasi rakyat.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Dr Anesee Ibrahim berkata nilai integriti memainkan peranan penting sebagai asas dalam kerangka reformasi selain pengukuhan integriti dalam kalangan petugas bagi memastikan perkhidmatan awam terus relevan.

"Saya ingin mencadangkan bahawa penyelesaian bagi isu tatakelola adalah integriti sebab kalau kita dapat pastikan semua penjawat awam mempunyai nilai integriti yang mantap secara automatik, tatakelola akan mantap.

"Ini seterusnya kita mengharapkan isu-isu ketirisan dan keculasan akan berkurang atau menjadi hampir kosong, ini akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan," katanya. 

Beliau berkata demikian pada pada Forum Pembangunan Modal Insan Penjawat Awam: Antara Cabaran dan Harapan sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Datuk Seri Ahmad Jailani Muhamed Yunus pula berkata budaya perkongsian ilmu dalam sektor awam dapat memastikan peningkatan produktiviti dan keberkesanan dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat. 

Beliau berkata penilaian prestasi secara berkala, konsep mentor menti, crossing training dan pusingan kerja antara pendekatan yang boleh dilaksanakan bagi menggalakkan budaya perkongsian ilmu dalam  memperkasakan perkhidmatan awam. 

Sesi forum itu dikendalikan Timbalan Pengarah Kanan (Pembangunan Kompentensi) INTAN Datuk Dr Haniff Zainal Abidin sebagai moderator.

Sementara itu, Penasihat Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly pada sesi plenari bertajuk Peranan Komunikasi dalam Meningkatkan Kecekapan Perkhidmatan Awam pada konvensyen itu berkata penjenamaan perkhidmatan awam, khususnya dalam usaha reformasi dapat menyampaikan nilai, misi, dan komitmen agensi bagi menyediakan perkhidmatan terbaik untuk masyarakat.

Beliau berkata melalui penyampaian mesej yang konsisten dan telus, agensi kerajaan bakal membina imej yang boleh dipercayai seterusnya meningkatkan keyakinan orang ramai.

Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024  antara lain melibatkan beberapa sesi wacana daripada wakil kerajaan dan swasta serta ahli akademik meliputi topik seperti merakyatkan perkhidmatan awam dan reformasi tatakelola dalam perkhidmatan awam. 

Majis Penutup Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 dijadual disempurnakan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan