BELANJAWAN 2025 > BERITA

Grab Malaysia Cipta 10,000 Peluang Pekerjaan Untuk Rakyat Terengganu

24/11/2024 08:53 AM

KUALA TERENGGANU, 24 Nov (Bernama) -- Grab Malaysia telah berjaya membuka sebanyak 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat, yang dikenali sebagai Rakan Grab, di Terengganu sejak mula beroperasi di negeri pantai timur itu pada 2017.

Pengarah Operasi dan Mobiliti Negara Grab Malaysia Rashid Shukor berkata objektif operasi Grab di Terengganu adalah untuk membangunkan platform yang mendayakan ekonomi tempatan melalui penyelesaian teknologi yang menyokong komuniti Rakan Grab.

Menurut beliau pada tahun lepas sahaja, komuniti Rakan Grab di negeri ini berjaya menjana pendapatan melebihi RM10 juta melalui pelbagai platform yang disediakan, manakala pendaftaran perniagaan bagi sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Terengganu mencatatkan peningkatan sebanyak 20 peratus dari tahun ke tahun sejak pelancaran operasi Grab.

"Penubuhan Grab Malaysia memberikan manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, usia, dan jantina. Di Terengganu sahaja, terdapat lebih 100 Rakan Wanita Grab dan 60 orang kurang upaya (OKU).

"Amat mengagumkan, apabila lebih separuh daripada PKS tempatan berjaya mengekalkan taraf lima bintang di platform Grab berdasarkan penilaian jutaan penggemar makanan. Ini membuktikan kualiti tinggi serta kepercayaan yang berjaya dibina melalui sistem digital Grab," katanya.

Rashid berkata selain menyediakan peluang pekerjaan, operasi Grab juga membantu kerajaan Terengganu melonjakkan sektor pelancongan melalui pelbagai platform digital. Usaha ini memberi pendedahan kepada pelancong tentang daya tarikan produk pelancongan tempatan serta pengalaman budaya negeri Darul Iman.

"Daripada pengangkutan, penghantaran makanan hingga penyelesaian bagi cabaran rakan niaga, perkhidmatan Grab selaras dengan visi Terengganu untuk mencapai pelancongan yang mampan.

"Kami berharap dapat memudahkan perjalanan, meningkatkan pengalaman pengunjung, dan mencatat peningkatan bilangan pelancong dalam sektor pelancongan berasaskan komuniti, yang menjadi teras strategi utama negeri," ujarnya semasa program Sembang TechTarik di sini.

Dalam pada itu, seorang Rakan Wanita Grab, Zaimah Mohamed, 52, yang juga seorang ibu tunggal, berkata beliau mula menjadi pemandu e-hailing pada 2017 untuk mendapatkan pendapatan tambahan bagi menyara lima anaknya.

Zaimah berkata sebagai pekerja berpendapatan rendah di sebuah syarikat swasta, gajinya tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup serta pendidikan anak-anak.

“Gaji saya hanya cukup untuk melunaskan hutang dan komitmen lain. Alhamdulillah, hasil memandu Grab membantu saya menyediakan makanan, minuman, serta menampung belanja sekolah anak-anak.

"Dengan pendapatan daripada Grab, saya juga dapat menabung untuk pendidikan anak-anak, di mana dua daripada mereka kini belajar di universiti. Grab telah membuka jalan untuk kehidupan yang lebih baik bagi kami sekeluarga," katanya.

Beliau kini masih aktif memandu Grab setiap hari bermula 5 petang hingga 9 malam.

Sementara itu, seorang peniaga roti jala, Hani Syuhadah Borhanuddin, 33, dari gerai Roti Jala King Size di Kampung Losong Haji Su, berkongsi bahawa jualannya meningkat hingga RM15,000 sebulan sejak menyertai GrabFood pada 2019.

"Pelbagai promosi oleh Grab Malaysia membantu perniagaan saya berkembang. Saya juga berjaya mengekalkan penarafan 4.8 bintang.

"Selain itu, GrabFin membantu saya menguruskan kewangan semasa waktu mencabar. Sistem digitalisasi Grab telah membuktikan keberkesanannya dalam membina perniagaan yang mampan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan