BELANJAWAN 2025 > BERITA

Program Labuan Connect! Disertai Pelbagai Agensi, Lapisan Masyarakat

24/11/2024 11:30 AM

LABUAN, 24 Nov (Bernama) -- Buat julung kalinya program Labuan Connect! dilancarkan dengan jayanya di Dewan Komuniti Kampung Patau-Patau 1 di sini semalam.

Program berkenaan dilancarkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) Nur-ul Afida Kamaludin.

Program berlangsung selama sehari bermula jam 8 pagi itu disertai oleh agensi di bawah Kementerian Komunikasi antaranya Jabatan Penerangan Labuan, Radio Televisyen Labuan, rangkaian telekomunikasi CelcomDigi, Maxis dan Unifi.

Agensi lain ialah Perpustakaan Desa dan Awam Labuan, jualan MADANI dan usahawan di bawah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Lubuk Temiang dan Sungai Labu.

Labuan Connect! turut disertai pelajar daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) kampus Labuan, Kolej Vokasional, pelajar sekolah serta penduduk tempatan.

Program itu dimulakan dengan sesi Jom Kenali Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang disampaikan oleh Ketua Seksyen Pembangunan, MCMC Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) Muhammad Rahimi Abdul Wahid.

Pengunjung turut diberi penerangan melalui acara pocket talk mengenai penipuan dalam talian, buli siber dan aduan, yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah MCMC Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) Katirawaan Rajadran.

Selain itu penerangan mengenai mobile journalist (MoJo) dan peranan media dalam komunikasi disampaikan oleh Wartawan Kanan Meja Digital Media BERNAMA Syed lylia Hariz Al-Qadri.

Tajuk lain iaitu Pemudah Cara Isu Perkhidmatan Telekomunikasi Anda disampaikan oleh Ketua Jabatan Advokasi Pengguna dan Jangkauan Kamalavacini Ramanathan, dan Eksekutif Jabatan Pengurusan Aduan, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) Ungku Azilah Ungku Aziz.

Pelbagai aktiviti juga dijalankan, antaranya kuiz digital dan aktiviti interaktif (KAHOOT), mini konti BERNAMA Radio, aktiviti interaktif dan celik rimba di reruai MCMC.

Seorang pengunjung program Abdullah Ismail@Wahab, 63, pesara swasta dari Kampung Patau-Patau 1 berkata, kedatangan agensi kerajaan ke kawasan itu dapat memberi maklumat yang diperlukan oleh penduduk kampung.

Beliau berharap program seumpama itu yang memfokuskan kesedaran mengenai penipuan dalam talian akan dapat diadakan setiap masa untuk memberi maklumat tepat khususnya kepada warga emas agar lebih berhati-hati dengan taktik penipuan pada masa kini.

"Saya cadangkan program ini diadakan lebih kerap dijalankan disini, banyakkan lagi aktiviti supaya lebih ramai akan berminat memeriahkan acara ini di masa akan datang," katanya yang turut mengambil bahagian menyertai kuiz.

Norfitri Farhana Razali, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara juga amat gembira dan teruja program itu diadakan berdekatan kawasan kampungnya sekali gus dapat mengenali agensi BERNAMA.

Beliau yang datang seawal pukul 7.30 pagi bersama rakannya berkata setiap kali ada program diadakan di kampung itu, beliau pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menyertainya terutamanya aktiviti menjawab soalan kuiz.

Pelajar tahun tiga UMS kampus Antarabangsa Labuan, Fakulti Komputeran dan Informatiks Jurusan Komputeran Perniagaan, Kumaravel Vee Loo Samy, 22, pula berkata program itu sangat memberi input yang diperlukan terutamanya yang melibatkan media.

Kumaravel yang berasal dari Johor berkata taklimat mengenai penggunaan media sosial dan panduan mengambil video menggunakan telefon bimbit sedikit sebanyak membantu dirinya sebagai siswa untuk menguasai teknologi itu.

"Dari program ini juga, saya lebih faham fungsi BERNAMA.. perlu rujuk agensi berita ini terlebih dahulu berhubung sesuatu isu untuk memastikan kesahihannya," katanya yang turut memenangi hadiah jam tangan dalam kuiz pada program itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan