BELANJAWAN 2025 > BERITA

Dasar Kanak-kanak Negara Baharu Perkukuh Perlindungan, Kebajikan - Nancy

24/11/2024 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM) hari ini melancarkan Dasar Kanak-Kanak Negara baharu bagi memastikan suara kanak-kanak didengar dan diambil kira dalam setiap keputusan yang memberi kesan kepada masa depan mereka.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata dasar tersebut merupakan langkah memperkukuh usaha menjaga kebajikan kumpulan kanak-kanak dengan memberi tumpuan kepada aspek perlindungan daripada keganasan, eksploitasi dan pengabaian.

“Selain itu, ia beri fokus kepada perkembangan holistik dari segi fizikal, emosi, mental, dan kerohanian; serta penyertaan bermakna kanak-kanak dalam proses membuat keputusan yang mempengaruhi kehidupan mereka,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2024 bertemakan ‘Dengarlah Suara Kami’ di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Hadir sama menyempurnakan majlis tersebut ialah isteri Perdana Menteri, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menerusi empat objektif, beliau berkata dasar itu akan membentuk insan seimbang, berperibadi unggul, progresif serta mempunyai nilai-nilai murni ke arah kesejahteraan Malaysia.

Mengenai struktur kerja Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) yang ditubuhkan oleh KPWKM untuk meningkatkan perlindungan dan kebajikan kanak-kanak, Nancy berkata jumlah kakitangan JPKK akan ditambah setiap tahun hingga 2026 bagi membolehkan jabatan itu diiktiraf sebagai jabatan yang beroperasi secara sendirian.

Nancy berkata sejak Malaysia meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) pada 1995, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk melindungi hak dan kesejahteraan kanak-kanak termasuk menambah baik Akta Kanak-Kanak 2001 sedia ada untuk memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada mereka.

Sementara itu, Wan Azizah dalam ucapannya mengingatkan para ibu bapa supaya memainkan peranan masing-masing dalam mendidik dan memantau anak-anak walaupun sibuk bekerja, agar mereka dapat diasuh seta dipupuk dengan nilai-nilai positif serta etika yang betul.

"Semua pihak mestilah memainkan peranan untuk memastikan kanak-kanak sentiasa dilindungi daripada sebarang bentuk penderaan, pengabaian atau penganiayaan. Kita mesti melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat kes berisiko atau situasi meragukan.

"Kepada ibu bapa atau penjaga, sekiranya ada sebarang masalah, dapatkan bantuan daripada pihak berkaitan. Jangan tunggu lagi," katanya.

Sebanyak tujuh anugerah khas telah diberikan kepada kanak-kanak yang memberikan sumbangan luar biasa dalam bidang masing-masing pada majlis yang dihadiri kira-kira 600 kanak-kanak.

Selain itu, 15 syarikat terpilih yang melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam menyokong kesejahteraan kanak-kanak turut menerima anugerah dan sijil penghargaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan