BELANJAWAN 2025 > BERITA

UPSI Tersenarai 601 Ranking Terbaik Dunia

24/11/2024 04:27 PM

IPOH, 24 Nov (Bernama) -- Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI) terus mencatatkan kecemerlangan apabila disenaraikan di kedudukan ke-601 terbaik dunia berdasarkan Times Higher Education World University Rankings. 

Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata UPSI berada di kedudukan kelapan dalam kalangan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia, ke-151 dunia dalam subjek pendidikan, serta ke-165 dalam Asia University Rankings.

Beliau berkata pencapaian itu didorong peningkatan dalam reputasi akademik yang menunjukkan kepercayaan global terhadap sumbangan UPSI terutama sesi pengajaran berimpak tinggi selain kejayaan melahirkan siswazah berkualiti.

"UPSI memperkukuhkan kedudukan di peringkat antarabangsa apabila menerima pelbagai akreditasi termasuk ‘The Accreditation Agency for Study Programmes in Engineering, Informatics, Natural Sciences and Mathematics (ASIIN); The Alliance on Business Education and Scholarship for 21st Century (ABEST21); Malaysian Financial Planning Council dan Malaysian Institute of Accountants. 

"UPSI juga memperluaskan jangkauan globalnya dengan penubuhan pusat pembelajaran di Xi’an, China dan National Institute of Fine Arts and Design di Uzbekistan yang menjadi bukti komitmen universiti dalam memperkasakan pendidikan bertaraf antarabangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Md Amin berkata pencapaian itu juga merupakan sumbangan semua warga UPSI, khususnya ahli akademik yang komited dalam melaksanakan penyelidikan, pengajaran dan penerbitan bermutu tinggi.

"Tiga penyelidik tersohor, iaitu Profesor Dr Suriani Abu Bakar, Dr Wan Mohd Nuzul Hakimi Wan Salleh dan Dr Miftachul Huda, telah disenaraikan sebagai World’s Top 2% Scientists, ia suatu pengiktirafan berprestij di arena penyelidikan antarabangsa.

"UPSI turut menerima pelbagai pengiktirafan utama, termasuk Universiti Terbaik dalam Anugerah Keusahawanan KPT 2023, Employers’ Choice of University oleh Talentbank serta pengiktirafan sebagai Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN)," katanya. 

Justeru, beliau berkata dengan pencapaian itu, UPSI membuktikan komitmen berterusan dalam meningkatkan standard akademik, seterusnya memperkukuhkan peranannya sebagai antara universiti terkemuka di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan