KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Gas Malaysia Bhd (Gas Malaysia) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM115.99 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2024, berbanding RM86.16 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan meningkat sebanyak 17.3 peratus kepada RM2.13 bilion daripada RM1.82 bilion sebelumnya, dipacu oleh jumlah jualan gas asli yang lebih tinggi, purata harga jualan gas asli yang meningkat dan yuran tol yang lebih tinggi.
Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2024, keuntungan bersih Gas Malaysia meningkat kepada RM328.67 juta daripada RM279.07 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Bagaimanapun, menurut Gas Malaysia, perolehan untuk sembilan bulan bagi tahun kewangan 2024 turun 4.6 peratus kepada RM5.99 bilion daripada RM6.28 bilion sebelumnya.
Penurunan ini disebabkan oleh purata harga jualan gas asli yang lebih rendah, sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan jumlah jualan dan yuran tol sepanjang tempoh dalam semakan, katanya.
Mengenai prospek, syarikat berkata ia kekal komited untuk melaksanakan langkah berhemat bagi meningkatkan kecekapan operasi, kekal berdaya saing dan meneruskan peluang untuk pengembangan perniagaan.
"Dengan strategi ini, lembaga pengarah menjangkakan kumpulan mencapai prestasi yang memuaskan bagi tahun kewangan 2024," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial