BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pemergian Ahmad Nawab Kehilangan Permata Muzik Yang Tiada Bandingnya - DJ Dave

24/11/2024 10:31 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Pemergian Seniman Negara Tan Sri Dr Ahmad Nawab yang meninggal dunia hari ini pada usia 92 tahun disifatkan sebagai kehilangan permata yang tiada bandingnya dalam industri muzik tanah air.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Veteran Datuk DJ Dave berkata Ahmad Nawab atau nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan adalah seorang pemuzik yang mampu mencipta sesebuah lagu sesuai dengan kebolehan dan karakter seseorang penyanyi.

“Saya amat sedih kerana dalam tempoh seminggu ini, selain arwah Ahmad Nawab, saya juga telah kehilangan komposer legenda, Datuk S Atan pada Sabtu lepas. Mereka berdua ini adalah tokoh guru muzik dalam kehidupan kerjaya seni saya.

“Saya banyak belajar daripada arwah. Apabila masuk ke dalam studio bersamanya, ada ketikanya kena marah, tapi saya sabar kerana mahu belajar dan banyak nasihat yang dikongsikan,” katanya kepada pemberita di kediaman Allahyarham di Taman Melewar di sini malam ini.

DJ Dave berkata beliau ada berjumpa dengan Ahmad Nawab di Istana Negara pada tahun lepas selepas beliau dikurniakan gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ketika itu, kami banyak bercakap tentang kerjaya seni saya dan sebagainya. Saya juga ada jemput arwah datang ke rumah saya dan beliau kata ‘yes’ minggu depan beliau nak datang, tapi kemudian beliau memaklumkan kepada saya beliau tak sihat, minggu seterusnya juga tak sempat (datang) kerana beliau masih tidak sihat,” katanya.

Sementara itu, Seniwati Datuk Rosnani Jamil pula berkata beliau dan Persatuan Karyawan Pulau Pinang ada merancang untuk mewujudkan galeri atau muzium seni untuk arwah memandangkan beliau juga berasal dari negeri itu.

“Kebetulan mak (Rosnani) baru balik dari Pulau Pinang merasmikan galeri untuk Allahyarham Seniman Nordin Ahmad bersama Persatuan Karyawan Pulau Pinang, selama ini orang ingat P. Ramlee sahaja dari Pulau Pinang, jadi kita buat juga (galeri) untuk Nordin.

“Dalam bersama-sama kita berbicara memikirkan Ahmad Nawab pun orang Pulau Pinang, jadi Persatuan Karyawan Pulau Pinang kata, insya-Allah sekarang kita dah selesai buat untuk Nordin, kita akan buat untuk Nawab pula.

“Kami gembira apabila bercakap mengenai perancangan itu, namun tidak sempat untuk diberitahu  apabila anak mak menelefon memaklumkan beliau sudah pergi (meninggal dunia),” katanya.

Ahmad Nawab meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira 3.15 petang tadi dan jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan pada 10 pagi esok di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak di sini.

Sepanjang kariernya, Ahmad Nawab menghasilkan lebih 200 album yang didendangkan artis tempatan dan Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.

Ahmad Nawab menggubah lagu Malaysia Truly Asia dendangan Datuk Khadijah Ibrahim yang dianggap dendangan ikon kepada lagu bertemakan pelancongan bagi mempromosikan Malaysia di persada antarabangsa.

Ahmad Nawab yang pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun, memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya Bintang Malam pada 1980.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan