SHAH ALAM, 25 Nov (Bernama) -- Pesawah di negeri ini disarankan mendaftar sebagai peserta Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang memberi mereka perlindungan sekiranya tanaman padi musnah akibat bencana atau penyakit.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim berkata setakat ini hanya 330 pesawah yang menyertai STTP berbanding bilangan pesawah di negeri ini yang mencecah 9,000 orang.
“Pada September lepas, STTP dilancarkan yang menawarkan perlindungan takaful sehingga RM3,000 untuk bencana alam bagi sehektar semusim manakala serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman sehingga RM1,500.
“Ketika ini Agrobank dalam proses hebahan maklumat berkaitan STTP kepada pesawah dan agensi berkaitan,” katanya menjawab pertanyaan Sallehen Mukhyi (PN-Sabak) berhubung fenomena cuaca dan ban pecah serta kesan ke atas pesawah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Izham berkata segala bencana berkaitan tanaman padi, banjir, kemarau dan padi rebah perlu dilaporkan kepada Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor dan Jabatan Pertanian untuk siasatan, semakan serta pengesahan sebelum diluluskan jawatankuasa bencana peringkat negeri dan Persekutuan.
Beliau berkata penyaluran bantuan akan dilaksanakan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial