BELANJAWAN 2025 > BERITA

KPJ Healthcare Catat Sejarah Perolehan Tertinggi Lepasi RM1 Bilion Pada Suku Ketiga

26/11/2024 12:51 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) mencatat sejarah dengan merekodkan perolehan suku tahunan tertinggi iaitu sebanyak RM1.032 bilion pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2024.

Buat julung kalinya, pertumbuhan kumpulan melepasi paras RM1 bilion dalam hasil suku tahunan, dipacu oleh peningkatan bilangan pesakit dan kapasiti katil yang diperluaskan di seluruh rangkaiannya.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, keuntungan sebelum cukai untuk suku semasa direkodkan sebanyak RM139.6 juta, peningkatan dua peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan Pelunasan (EBITDA) adalah sebanyak RM253.7 juta.

Tanpa mengambil kira keuntungan sekali sahaja sebanyak RM34.8 juta daripada hasil penutupan operasi di Indonesia pada suku ketiga 2023, KPJ Healthcare berkata, EBITDA meningkat sebanyak 16 peratus, menandakan prestasi operasi yang kukuh.

Dalam pada itu, bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept, 2024, KPJ Healthcare melaporkan perolehan sebanyak RM2.871 bilion, meningkat 15 peratus daripada RM2.5 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai bagi tempoh sembilan bulan pula meningkat 19 peratus kepada RM349.7 juta, manakala EBITDA meningkat tujuh peratus kepada RM687.3 juta, menunjukkan prestasi operasi yang stabil.

Susulan pencapaian memberangsangkan ini, KPJ Healthcare mengisytiharkan dividen interim keempat bagi tahun kewangan 2024 iaitu sebanyak 1.15 sen sesaham, berjumlah RM50.2 juta.

Dividen ini akan diagihkan kepada pemegang saham KPJ Healthcare pada 27 Dis, 2024.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata meraih RM1 bilion untuk hasil suku tahunan buat kali pertama adalah bukti komitmen kumpulan dalam menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi yang mengutamakan pesakit serta pada masa yang sama meningkatkan prestasi operasi kumpulan.

Pencapaian ini, katanya, melambangkan kepercayaan pesakit dan pihak berkepentingan terhadap kumpulan.

"Dengan penawaran perkhidmatan yang diperkukuh serta kapasiti katil yang ditambah, kami terus meningkatkan kepuasan pesakit dan mencapai keputusan yang lebih teguh.

"Kami kekal fokus untuk memberikan nilai lebih besar selaras dengan usaha memenuhi keperluan penjagaan kesihatan negara yang semakin bertambah,” kata Chin.

Kadar kemasukan pesakit meningkat sebanyak enam peratus kepada 103,228 manakala lawatan pesakit luar bertambah kepada 784,437, mengukuhkan komitmen KPJ Healtthcare dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses dan berkesan.

Pertumbuhan operasi hospital turut menjana aliran tunai operasi sebanyak RM554.3 juta bagi tempoh berakhir 30 Sept, 2024, kenaikan lima peratus (RM26.9 juta) daripada RM527.4 juta pada tahun kewangan 2023.

KPJ Healthcare berkata, selain prestasi kewangan, KPJ Healthcare turut memperkukuh inisiatif kelestariannya.

Katanya, Hospital Pakar Damansara 2 merupakan hospital pertama dalam rangkaian KPJ Healthcare yang mendapat pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI), sekali gus meletakkan penanda aras baharu untuk penjagaan kesihatan mesra alam.

"Pemasangan sistem solar fotovolta di atas bumbung bangunan KPJ Rawang dijangka mengurangkan pelepasan karbon setara dengan penanaman 3,000 pokok setiap tahun, selaras dengan matlamat alam sekitar negara.

"Kumpulan KPJ memberi tumpuan kepada pengoptimuman aset, peningkatan kapasiti katil dan pengambilan kakitangan bagi memperkukuh keupayaan operasinya.

"Dalam menangani cabaran seperti tekanan kos dan pasaran sumber manusia yang kompetitif, KPJ Healthcare komited terhadap pengurusan kewangan serta memberikan nilai kepada semua pihak berkepentingan. Kumpulan kekal yakin terhadap prospek bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2024,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan