KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih Hong Leong Bank Bhd meningkat 5.8 peratus kepada RM1.09 bilion pada suku pertama berakhir 30 Sept, 2024 (S1 TK2025) daripada RM1.03 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, bank itu berkata prestasi berkenaan disokong oleh pertumbuhan pinjaman atau pembiayaan yang teguh, pendapatan bukan faedah yang bertambah baik dan sumbangan stabil daripada syarikat-syarikat bersekutunya.
Hasil meningkat kepada RM1.60 bilion daripada RM1.39 bilion sebelumnya, dipacu oleh peningkatan dalam pendapatan faedah bersih dan pendapatan bukan faedah dan bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada syarikat-syarikat bersekutu.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Kevin Lam berkata portfolio pinjaman kasar dan pembiayaan bank itu meningkat 6.9 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM194.2 bilion, disumbangkan oleh pengembangan dalam gadai janji, pinjaman kereta dan perusahaan bersaiz kecil dan sederhana dan segmen perbankan komersial.
“Kami terus memantau kualiti aset kami selaras dengan budaya pengurusan risiko yang berhemat dan proses pengunderaitan kredit yang ketat, mengakhiri suku pertama dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) kukuh sebanyak 0.54 peratus dan nisbah perlindungan nilai pinjaman berhemat (LIC) sebanyak 145.5 peratus,” katanya.
Menurut bank itu, jumlah pendapatannya untuk S1 TK2025 meningkat 14.6 peratus tahun ke tahun kepada RM1,598 juta dan pendapatan faedah bersih meningkat 10.5 peratus tahun ke tahun kepada RM1.24 bilion, hasil daripada pinjaman yang kukuh dan pertumbuhan pembiayaan serta pengurusan aset dan liabiliti yang berkesan.
Margin faedah bersih (NIM) bank itu meningkat lapan mata asas tahun ke tahun kepada 1.92 peratus.
Pendapatan bukan faedah (NOII) Hong Leong Bank melonjak 32 peratus tahun ke tahun kepada RM354 juta dengan nisbah pendapatan bukan faedah sebanyak 22.1 peratus, disokong dengan pendapatan yuran yang sihat, pendapatan pelaburan yang direalisasikan lebih tinggi dan keuntungan pertukaran asing yang bertambah baik.
Melangkah ke hadapan, Lam berkata bank itu akan terus menggandakan keupayaan digitalnya, memupuk perkongsian strategik dan membangunkan kumpulan bakat bertaraf dunia untuk memacu pertumbuhan perniagaan teras bank dan membina francais ASEAN yang kukuh.
Hong Leong Bank ialah anak syarikat Hong Leong Financial Group Bhd (HLFG).
HLFG menyaksikan keuntungan bersihnya meningkat 14.3 peratus kepada RM847.67 juta pada S1 TK2025 daripada RM741.65 juta sebelumnya disebabkan sumbangan lebih tinggi daripada bahagian perbankan dan insurans.
Hasilnya melonjak kepada RM1.89 bilion daripada RM1.58 bilion sebelumnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tan Kong Khoon berkata prestasi kukuh kumpulan pada suku pertama TK2025 diterajui oleh pertumbuhan pendapatan utama mereka, yang meningkat 20.0 peratus tahun ke tahun.
“Ini terbukti dengan pertumbuhan NOII kumpulan yang mantap sebanyak 46.7 peratus tahun ke tahun, berikutan inisiatif pengembangan pendapatan fi dan keuntungan pelaburan, terutamanya dalam segmen insurans.
"Kami juga menyaksikan hasil positif daripada usaha pemulihan NIM dan pertumbuhan pinjaman terus melebihi industri yang membawa kepada pertumbuhan pendapatan faedah bersih yang mampan sebanyak 10.2 peratus tahun ke tahun," katanya.
Cabang insurans HLFG yang tidak tersenarai, HLA Holdings Sdn Bhd (HLAH) mencatatkan peningkatan dalam keuntungan sebelum cukainya sebanyak 142.3 peratus tahun ke tahun kepada RM237 juta pada S1 TK2025 berikutan pendapatan pelaburan yang lebih kukuh dan keputusan perkhidmatan insurans bersih yang lebih tinggi.
Bahagian perbankan pelaburan dan pengurusan asetnya, Hong Leong Capital Bhd bagaimanapun, menyaksikan keuntungan sebelum cukainya lebih rendah 20.5 peratus tahun ke tahun pada S1 TK2025 disebabkan kelewatan dalam penyelesaian urus niaga yang dimandatkan, kemerosotan 'mark-to-market' dalam penilaian instrumen lindung nilai dan pulangan pelaburan ekuiti yang lebih rendah.
Melangkah ke hadapan, Tan berkata kumpulan itu menjangkakan momentum ekonomi positif Malaysia akan berlanjutan ke tahun 2025 tetapi akan mengambil kira risiko penurunan dan halangan luaran yang berpunca daripada ketegangan geopolitik dan perdagangan yang berkembang antara ekonomi-ekonomi utama.
Hong Leong Bank dan HLFG tidak mengisytiharkan sebarang dividen untuk suku dalam tinjauan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial