BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sukan SEA 2027: Pulau Pinang Setuju Peruntuk RM15 Juta Anjur Snuker, Biliard

26/11/2024 02:02 PM

GEORGE TOWN, 26 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang akan memperuntukkan RM15 juta bagi penganjuran sukan snuker dan biliard pada Sukan SEA 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata bagaimanapun pada peringkat ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jawatankuasa Penganjuran sedang memperhalusi cadangan untuk menambah beberapa sukan indoor menerusi peruntukan yang dipersetujui.

“Perkara ini akan turut mengambil kira kesesuaian kemudahan sukan sedia ada yang terdapat di Pulau Pinang,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Lee Khai Loon (PH-Machang Bubuk) mengenai anggaran kos penganjuran yang perlu ditanggung Pulau Pinang serta anggaran keuntungan atau impak ekonomi yang dapat dijana selain acara sukan yang akan diadakan di negeri itu mengikut lokasi dan taraf kemudahan sukan.

Gooi memaklumkan kerajaan negeri telah menghantar permohonan kepada KBS bagi menganjurkan snuker di Akademi Biliard dan Snuker Wilayah Utara di Bayan Baru dekat sini.

Beliau berkata akademi itu juga mempunyai kemudahan sukan lain dan penginapan di lokaliti serta aktiviti ekonomi setempat yang strategik, namun perbincangan selanjutnya akan diadakan bersama KBS serta negeri penganjur lain.

Gooi berkata penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi tempatan menerusi pelancongan, penjualan tiket, penajaan korporat sekali gus meningkatkan imej dan reputasi negeri serta negara di peringkat global.

“Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pelancongan sukan mempunyai keupayaan untuk menjana pendapatan yang dianggarkan RM5 bilion setiap tahun untuk Malaysia,” katanya.

Malaysia bersetuju menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA 2027 dan ia merupakan penganjuran bersama Sarawak dan Pulau Pinang setakat ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan