BELANJAWAN 2025 > BERITA

UTP Lancar Program Sarjana Muda Kejuruteraan Bersepadu Pertama Di Malaysia

26/11/2024 06:38 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) akan menjadi universiti pertama di Malaysia yang menawarkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bersepadu dengan Kepujian, menggabungkan pelbagai disiplin kejuruteraan dalam satu program.

Pro-Canselor UTP Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz berkata program berkenaan direka untuk menyediakan mahasiswa dengan pengetahuan kritikal, kemahiran, dan perspektif holistik bagi menghadapi cabaran masa depan, seperti ketidaktentuan geopolitik dan kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Sarjana Muda Kejuruteraan Bersepadu mengambil pendekatan rentas dsiplin yang melengkapkan disiplin kejuruteraan tradisional.

“Ini bermaksud rangka kerja dan pembelajaran baharu yang melangkaui disiplin individu, mengintegrasikan pengetahuan dan perspektif daripada pelbagai bidang untuk menangani masalah masyarakat yang kompleks,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program berkenaan dan Times Higher Education (THE) Campus Live Southeast Asia 2024, di sini hari ini.

Program kejuruteraan bersepadu yang akan bermula tahun depan itu, antara lain memberikan pendedahan industri kepada graduan bermula dari tahun pertama, latihan industri berstruktur selama tujuh bulan yang dipermudah melalui kerjasama erat dengan gabungan beberapa industri dan jaminan kerjaya dengan syarikat-syarikat terkemuka tempatan serta antarabangsa.

Program selama empat tahun itu mencerminkan komitmen UTP untuk memacu inovasi dalam pendidikan kejuruteraan dan menangani cabaran global.

Tengku Muhammad Taufik berkata dengan jangkaan 85 juta pekerjaan akan diambil alih AI dan automasi seawal tahun depan, UTP perlu mengubah pendekatan mereka untuk memastikan setiap graduan dilengkapi dengan keupayaan yang lebih kompleks, kreativiti dan inovasi.

“Selain itu, majoriti tenaga kerja juga perlu menjadi pakar dalam pelbagai disiplin. Memandangkan kita menjangkakan perubahan yang lebih kerap, tidak dapat diramalkan dan pantas, graduan mesti memiliki kebolehsuaian dan daya tahan yang bukan sahaja dimanfaatkan, tetapi juga beralih antara set kemahiran yang berbeza untuk menyelesaikan pelbagai masalah merentasi sektor,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UTP Farehana Hanapiah dalam ucapannya menyatakan komitmen mereka untuk terus meningkatkan usaha membangunkan graduan yang bukan sahaja bersedia bekerja, tetapi menjadi ejen perubahan dalam masyarakat.

“Kami juga mahu meneruskan penyelidikan berfokus, memanfaatkan teknologi baharu, mewujudkan hab inovasi melalui kerjasama merentas sektor, yang akan menangani cabaran besar pada masa depan,” katanya.

Dalam satu kenyataan, Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib memaklumkan bahawa program berkenaan menjadi contoh misi universiti itu untuk merencanakan semula pendidikan kejuruteraan bagi masa depan.

Sementara itu, THE Campus Live Southeast Asia 2024 yang dianjurkan UTP di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, menghimpunkan pemimpin akademik pendidikan tinggi dan pentadbiran, serta rakan industri dan pakar dasar untuk berbincang, berdebat dan merancang strategi bagi kejayaan institusi.

Acara dua hari bertemakan ‘Daripada visi kepada tindakan: Memacu pertumbuhan dan transformasi inklusif melalui Kerjasama’ yang bermula semalam, membincangkan cara inovatif untuk merombak sistem universiti bagi memastikan masa depan yang berdaya saing untuk individu, institusi dan masyarakat secara keseluruhan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan