BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan Tidak Pernah Sisih Pelaburan Ke Kedah - PM Anwar 

26/11/2024 06:24 PM

Daripada Mohd Shukri Ishak

SEOUL, 26 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah menyisihkan pelaburan ke Kedah, malah turut memberi cadangan dan menyokong Hyundai Motor untuk melabur di Kulim.

Menjawab soalan mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa terdapat "plot" yang dicipta untuk menggagalkan pelaburan swasta di negeri itu, Anwar secara berseloroh berkata: "Saya juga ejen Kedah (dalam membawa pelaburan luar ke Kedah)."

"Walaupun beliau (Sanusi) kata begitu, tetapi saya masih sokong Hyundai untuk melabur (di Kulim), (walaupun) ada beberapa tempat (pilihan) lain, tetapi kerana infrastruktur yang disediakan dan juga saluran eksport melalui Pelabuhan Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, (maka) kita cadang di Kulim," katanya pada sidang media mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Korea Selatan hari ini.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan tidak pernah sabotaj pelaburan ke Kedah, malah telah banyak pelaburan yang dibawa masuk ke negeri berkenaan.

"Terkini, susulan pertemuan bersama Perdana Menteri di Korea Selatan, Hyundai Motor Company (HMC) telah mengumumkan pelaburan RM2.16 bilion di Kulim, Kedah," katanya dalam hantaran di media sosial X hari ini.

Tengku Zafrul berkata HMC merancang untuk menjalankan pemasangan kenderaan tempatan, termasuk model EV (kereta elektrik) di Kulim dan syarikat itu juga akan menghasilkan model premium dan mewah yang disasarkan bagi pasaran ASEAN, yang mana pengeluaran dijangka bermula pada pertengahan 2025. 

"Kerjasama ini turut merangkumi pengembangan ekosistem EV tempatan, dengan penekanan kepada teknologi bateri EV yang berinovasi tinggi," katanya.

Beliau berkata pelaburan Hyundai akan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab automotif serantau, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). 

Komitmen Hyundai juga akan mewujudkan ratusan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia, dan mencipta lebih banyak pekerjaan tambahan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyokong operasi mereka, katanya.

--BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan