BELANJAWAN 2025 > BERITA

Untung Bersih MAHB Naik Kepada RM210.37 Juta Pada Suku Ketiga

26/11/2024 07:59 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM210.37 juta pada suku ketiga yang berakhir pada 30 Sept, 2024 berbanding RM94.76 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

MAHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan kumpulan meningkat kepada RM1.53 bilion berbanding RM1.28 bilion sebelumnya.

"Pertumbuhan ini dipacu oleh peningkatan jumlah penumpang hasil daripada operasi syarikat penerbangan baharu dan penambahan kekerapan penerbangan ke dan dari sektor antarabangsa, yang disokong lagi oleh pelaksanaan dasar bebas visa selama 30 hari untuk pengembara dari China dan India ke Malaysia," katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024, keuntungan bersih MAHB melonjak kepada RM606.16 juta berbanding RM255.47 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas manakala perolehan pula meningkat kepada RM4.26 bilion dalam tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2024 berbanding RM3.54 bilion sebelumnya.

MAHB berkata pertumbuhan perolehan tersebut selari dengan peningkatan pergerakan penumpang sebanyak 14 peratus kepada 101.2 juta penumpang.

"Pemulihan dalam trafik penumpang disebabkan oleh beberapa faktor termasuk operasi syarikat penerbangan baharu dan penambahan kekerapan penerbangan ke dan dari sektor antarabangsa.

"Selain itu, syarikat penerbangan menyambung semula laluan dan memperkenalkan perkhidmatan baharu serta pelaksanaan dasar bebas visa selama 30 hari untuk pengembara dari China dan India ke Malaysia," katanya.

Bagi prospek masa depan, MAHB berkata kumpulan menjangkakan pertumbuhan selanjutnya dengan trafik penumpang dijangka mendekati paras seperti pra-pandemik, terutamanya dari pasaran utama seperti China, India, dan Asia Tenggara menjelang penghujung tahun kewangan 2024 berikutan pelonggaran syarat visa.

Selain itu, pengendali lapangan terbang tersebut akan memacu pertumbuhan penumpang melalui usaha berterusan untuk menarik syarikat penerbangan dan laluan baharu serta penyambungan semula perkhidmatan oleh syarikat penerbangan sedia ada.

MAHB berkata kumpulan memberi tumpuan strategik untuk memperbaiki infrastruktur, meningkatkan kecekapan operasi dan menawarkan perkhidmatan penumpang yang terbaik bagi meletakkan MAHB dalam kedudukan yang kukuh untuk memanfaatkan peningkatan yang dijangkakan dalam perkhidmatan perjalanan.

"Secara keseluruhannya, dengan trajektori pemulihan yang kukuh, inisiatif strategik untuk meningkatkan bilangan penumpang dan ramalan industri yang positif, prospek untuk MAHB pada tahun akan datang kelihatan menjanjikan.

"Kami kekal yakin tentang pertumbuhan dan kejayaan berterusan MAHB yang dipacu oleh usaha bersama bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lancar serta menyeronokkan bagi semua penumpang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan