BELANJAWAN 2025 > BERITA

Banjir: Persiapan Lebih Baik, PM Anwar Zahir Penghargaan Semua Pihak Terlibat

28/11/2024 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada semua pihak dan agensi terlibat dalam membuat persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang disifatkannya lebih baik tahun ini.

Beliau berkata di bawah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah diarah memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera, agensi Persekutuan dan negeri untuk memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa banjir.

Anwar berkata penduduk di kawasan terkesan akan terus menjadi keutamaan tertinggi sepanjang tempoh MTL ini yang dijangka berlarutan hingga Mac tahun depan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri dan NADMA serta seluruh jentera termasuk kerajaan negeri yang memberi kerjasama dengan persiapan lebih baik tahun ni,” katanya sebelum menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata setakat 9.32 pagi tadi, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 37,189 orang membabitkan 11,385 keluarga di enam negeri iaitu di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak dan Johor.

Sebanyak 322 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di enam negeri berkenaan setakat ini.

“Mengikut negeri, Kelantan merekodkan mangsa banjir tertinggi membabitkan 30,582 orang (9,223 keluarga), dan 157 PPS telah dibuka di sembilan daerah di Kelantan,” katanya.

Sementara itu dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak khususnya mereka di kawasan terkesan banjir untuk bersiap siaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Semoga urusan kita dipermudah dalam berdepan ujian ini dan ia segera berakhir, Insya-Allah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan