BELANJAWAN 2025 > BERITA

Banjir Di Sembilan Negeri Memburuk, Hampir 100,000 Dipindahkan Setakat Petang Ini

29/11/2024 08:38 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Situasi banjir di lapan negeri kian buruk dengan angka keseluruhan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 96,883 orang setakat 4 petang ini.

KELANTAN adalah negeri paling terjejas dengan 65,993 mangsa ditempatkan di 244 PPS di 10 jajahan berbanding 59,232 orang pagi tadi.

Jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 22,486 orang di 56 PPS diikuti Tumpat (11,105 mangsa, 22 PPS), Kota Bharu (8,349 mangsa, 39 PPS), Kuala Krai (5,584 mangsa, 41 PPS), Tanah Merah (4,458 mangsa, 26 PPS) dan Bachok (3,040 mangsa, 10 PPS).

Di Pasir Puteh seramai 5,882 mangsa ditempatkan di 25 PPS, Machang (4,510 mangsa, 20 PPS), Jeli (535 mangsa, empat PPS) dan Gua Musang (44 mangsa, sebuah PPS).

Beberapa sungai utama di Kelantan melepasi paras bahaya antaranya Sungai Lanas di Jeli dengan bacaan 29.22 meter (m);  Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Kota Bharu (5.47 m); Sungai Golok di Kampung Jenob (28.99 m); Sungai Sokor di Kampung Sokor (33.92 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang (11.43m).

Di TERENGGANU, jumlah mangsa turut terus meningkat kepada 22,511 orang yang ditempatkan di 228 PPS berbanding 20,911 orang pagi tadi dan Besut menjadi daerah paling terjejas dengan 10,867 orang.

Di Setiu melibatkan 4,544 mangsa di 46 PPS; Hulu Terengganu (4,152 mangsa di 38 PPS), Kemaman (1,519 mangsa di 17 PPS), Dungun (703 mangsa di 16 PPS), Marang (665 mangsa di sembilan PPS) dan Kuala Nerus (61 mangsa di satu PPS).

Paras air sungai di 11 stesen seluruh negeri telah melepasi paras bahaya termasuk Sungai Besut di Kampung La di Besut (22.31 m); Sungai Nerus di Kampung Bukit di Setiu (14.08 m) dan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu (20.32 m) manakala 36 jalan membabitkan jalan persekutuan dan jalan negeri ditutup kepada semua jenis kenderaan akibat bencana itu.

Di KEDAH, angka mangsa bertambah kepada  5,701 orang berbanding 4,378 orang pagi tadi yang berlindung di 43 PPS melibatkan daerah Kuala Muda, Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pokok Sena dan Sik.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 1,593 individu ditempatkan di 13 PPS membabitkan tiga daerah iaitu Kuala Pilah, Tampin dan Jempol, berbanding 291 mangsa pagi tadi manakala di SELANGOR, 312 mangsa kini berlindung di dua PPS di Klang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai dan Balai MPKK Bukit Kapar berbanding 117 mangsa pagi tadi.

Beberapa sungai di Selangor juga sudah melepasi paras bahaya antaranya di Pekan Meru, Klang;  Kampung Sungai Selisik di Hulu Selangor dan Bukit Changgang di Kuala Langat .

Sementara itu, seramai 84 mangsa banjir di MELAKA ditempatkan di lima PPS melibatkan daerah Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Di JOHOR, terdapat tiga PPS beroperasi masing-masing dua di daerah Segamat dan satu di Tangkak membabitkan 184 mangsa.

Dua sungai iaitu Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak sudah melepasi paras bahaya manakala Sungai Tiram di Kampung Bukit Dagang dan Sungai Skudai di Kampung Laut, Johor Bahru; Sungai Lenik di Ladang Cha’ah, Segamat; Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak serta Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang melepasi paras amaran.

Di PERLIS, tiada perubahan ketara jumlah mangsa banjir dan seramai 485 orang masih berlindung di empat PPS berbanding 488 orang daripada 145 keluarga pagi tadi.

Sementara di PERAK, seramai 20 mangsa daripada tujuh keluarga masih berlindung di PPS SK Parit Haji Aman di Kerian susulan penutupan satu PPS di daerah Batang Padang hari ini.

Laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara petang tadi memaklumkan tiga kematian dilaporkan setakat ini dengan dua daripadanya di Kelantan iaitu di Pasir Puteh dan Machang manakala satu lagi di Besut, Terengganu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan