BELANJAWAN 2025 > BERITA

Anggota Tentera Selamatkan Empat Remaja Dinaikkan Pangkat

29/11/2024 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Seorang anggota tentera yang bergadai nyawa menyelamatkan empat remaja hampir lemas di sebuah tasik di Puncak Alam, Selangor pada Ahad lepas dinaikkan pangkat sebagai Staf Sarjan.

Penyempurnaan pemakaian pangkat kepada Mohd Nor Khalid dari Rejimen Artileri Diraja Ke-41 (Istiadat) Kem Sungai Buloh itu disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dalam satu majlis ringkas di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Muhammad Hafizuddeain berkata kenaikan pangkat itu sebagai penghargaan dan pengiktirafan atas jasa anggota tentera itu menyelamatkan nyawa orang awam dalam situasi kecemasan.

“Beliau mengambil risiko yang besar memandangkan keadaan ketika itu dan Alhamdulillah, semua mangsa berjaya diselamatkan. Tindakan beliau memerlukan sifat keberanian kerana untuk mengambil tindakan secara spontan itu bukan mudah.

“Sikap dan tindakan beliau seharusnya menjadi contoh kepada setiap anggota tentera dan diharapkan dapat memberi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media selepas majlis itu. 

Mengimbas kembali kejadian itu, Mohd Nor berkata beliau dimaklumkan jiran di kawasan perumahannya menerusi Whatsapp pada 12.30 tengah hari mengenai sampan dinaiki sekumpulan remaja di sebuah tasik berhampiran telah karam. 

Beliau bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati orang ramai mengerumuni kawasan berkenaan namun pihak berkuasa belum tiba walaupun telah dihubungi penduduk. 

Menurut penduduk, kumpulan remaja itu telah bergelut untuk menyelamatkan diri di dalam air selama hampir 45 minit selepas sampan mereka karam di tengah tasik, katanya.

“Pada ketika itu, saya memikirkan keadaan mereka yang sudah lama di dalam tasik dan bantuan masih belum tiba. 

“Dengan tawakal kepada Allah, saya memberanikan diri kerana nyawa mereka adalah keutamaan saya. Saya juga terfikir tentang anak-anak saya sendiri dan saya bersyukur Allah mempermudah usaha menyelamatkan mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis kenaikan pangkat itu. 

Menurut Mohd Nor, beliau berenang sejauh lebih 45 meter ke arah mangsa sebelum berjaya menyelamatkan mereka dalam masa 15 minit dengan membawa mangsa seorang demi seorang ke tebing tasik.

Wira itu akan menamatkan perkhidmatannya tahun hadapan selepas 20 tahun berkhidmat dalam angkatan tentera.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan