BELANJAWAN 2025 > BERITA

MOT Teliti Cadangan Bina Kemudahan Kargo Di LTSAS - Loke

02/12/2024 10:13 AM

BATU GAJAH, 2 Dis (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang mengkaji cadangan kerajaan Perak bagi membina kompleks pergudangan kargo di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh.

Menteri berkenaan Anthony Loke Siew Fook berkata cadangan itu sedang diteliti bersama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), bagi membangunkan prasarana terbabit.

“LTSAS walaupun bukan berstatus lapangan antarabangsa namun terdapat penerbangan dari luar negara, bukan hanya menempatkan terminal penumpang, malah kargo juga komponen yang sangat penting di lapangan terbang ini,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Jamuan Pengumpulan Dana Bangunan DAP Parlimen Batu Gajah di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming merangkap Pengerusi DAP Perak. 

Sementara itu Loke berkata MAHB telah melaksanakan kerja naik taraf di LTSAS sejak awal tahun ini melibatkan ruang legar, kaunter termasuk aspek keselamatan dan dijangka siap dalam masa terdekat.

“Kerja naik taraf ini lebih kepada pengoptimuman ruangan sedia ada, susun atur semula kaunter pelepasan dan ketibaan, dengan kita tambah kaunter untuk daftar masuk agar penumpang lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata penambahbaikan tersebut bagi membolehkan pemain industri beroperasi dengan berkesan dalam persekitaran yang kompetitif, sambil memastikan pengguna menerima perkhidmatan logistik bersepadu dan cekap.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan