KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Kontinjen Malaysia menyasarkan untuk merangkul lima pingat emas sebagai tuan rumah Kejohanan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik (APDG) ke-10 yang telah membuka tirainya semalam di sini.
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) Ong Shin Ruenn berkata sasaran tersebut adalah wajar memandangkan atlet negara bakal beraksi di laman sendiri, selain mengambil kira prestasi yang ditunjukkan mereka sepanjang latihan pusat.
"Pada awalnya, sasaran adalah lebih rendah kerana persediaan adalah untuk beraksi di Iran. Namun, kerana kita menjadi tuan rumah, sasaran dinaikkan dengan keyakinan terhadap kemampuan atlet kita.
"Sukan yang disasarkan adalah badminton, olahraga, boling dan taekwondo, keseluruhannya lima emas," katanya selepas majlis perasmian APDG ke-10 oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di sini malam ini.
Shin Ruenn berkata sasaran tersebut mengatasi pencapaian Malaysia pada edisi lalu di Taiwan pada tahun 2017.
Malaysia mengambil alih sebagai penganjur temasya sukan itu selepas Iran terpaksa menarik diri akibat situasi yang tidak menentu di negara tersebut.
Temasya kali disertai lebih 1,000 atlet dari 24 negara dengan sembilan acara sukan dipertandingkan iaitu badminton, olahraga, bola sepak, judo, taekwondo, catur, boling, ping pong dan gusti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial