BELANJAWAN 2025 > BERITA

Penggabungan OFS Dan SIDREC Kini Dalam Proses Akhir 

02/12/2024 01:48 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Ombudsman Perkhidmatan Kewangan (OFS) dan Pusat Penyelesaian Pertikaian Industri Sekuriti (SIDREC) kini dalam proses akhir penyelesaian penggabungan bagi memastikan operasi penuh Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan (FMOS) menjelang 2025, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata langkah ini sejajar dengan komitmen berterusan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk meningkatkan tahap keberkesanan dan kebolehcapaian skim penyelesaian pertikaian pengguna kewangan dan pelabur.

“Sejajar dengan pelaksanaan penggabungan tersebut dan bagi memastikan kepentingan pengguna institusi kewangan terus dilindungi, BNM telah melaksanakan kajian semula had monetary award bagi pertikaian yang akan dikendalikan oleh FMOS.

“Kajian semula ini untuk memastikan skim ombudsman kewangan yang ditadbir dan dikendalikan oleh FMOS kekal relevan untuk memenuhi keperluan pengguna dalam ekosistem kewangan yang berkembang pesat dari segi digital serta pembangunan dan inovasi kewangan yang bertambah kompleks,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat untuk membubarkan atau menggantikan OFS yang setakat ini dianggap terlalu memihak institusi perbankan sehingga kepentingan pengguna institusi kewangan tidak dilindungi.

Lim berkata penggabungan dua entiti ini mewujudkan sistem yang lebih koheren dan berkesan untuk  perlindungan pengguna kewangan dan pelabur.

“Operasi FMOS dijangka dapat menyediakan standard dan keputusan yang konsisten, memastikan semua pengguna kewangan dan pelabur menerima tahap perkhidmatan dan perlindungan yang sama.

“Melalui penggabungan ini, pengguna akan mempunyai satu titik hubungan untuk mengemukakan aduan, memudahkan navigasi sistem tanpa perlu mengenal pasti pelbagai badan yang terlibat,” katanya.

Selain itu, katanya skim penyelesaian pertikaian yang tunggal dapat mempercepatkan proses, mengurangkan masa menunggu pengguna dan pelabur serta meningkatkan kecekapan penyelesaian aduan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan