BELANJAWAN 2025 > BERITA

236 Anggota ATM Bakal Terima Diploma Melalui Program WBL

02/12/2024 05:38 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Seramai 236 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menerima diploma menerusi Program Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL), ditawarkan kepada yang layak dalam usaha meningkatkan kerjaya serta kesejahteraan hidup selepas tamat perkhidmatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata program itu yang buat julung kali diadakan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), menawarkan 10 program antaranya Diploma Seni Kulinari dan Diploma Pengurusan Hotel.

Turut ditawarkan Diploma Pendidikan Islam dan Dilpoma Sains Geomatik yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

"Ada beberapa jawatan dalam ATM yang mana pengalaman dan kemahiran dapat dilahirkan serta sesuai untuk dijadikan sebahagian daripada program ‘work based learning’. Syarat utama mereka yang terpilih terdiri mereka yang sudah 15 tahun berkhidmat dalam pasukan.

"Mereka (anggota) ini kemudian akan dinilai oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan kos pembelajaran ditanggung kerajaan dengan peruntukkan RM3 juta," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani nota kerjasama antara MINDEF dan Kementerian Pengajian Tinggi di Wisma Perwira di sini hari ini

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali, Ketua Setiausaha Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Mohamed Khaled berkata kementerian juga menerima tawaran diploma daripada DRB-Hicom University of Automotive Malaysia Universiti Kuala Lumpur yang menawarkan empat program selari dengan pekerjaan dalam kalangan anggota tentera.

"Melalui program ini dapat membantu kita menyediakan anggota kerana apabila mereka keluar (tamat perkhidmatan), ada jaminan masa depan untuk mereka.

"Ini juga sebagai penghargaan kepada anggota atas pengorbanan mereka selain dengan program ini dapat menarik minat orang ramai untuk menyertai ATM kerana banyak manfaat," katanya. 

Sementara itu, Zambry berkata pendekatan WBL adalah berdasarkan pengalaman kerja dan dinilai berasaskan skop yang dikawal selia oleh MQA.

Beliau berkata mereka yang menyertai program WBL akan terus berada dalam industri dan pihak universiti akan membuat penilaian.

“Ini memberikan peluang kedua kepada anggota apabila tamat perkhidmatan nanti,” katanya.

Selain itu, pada majlis berkenaan MINDEF dan KPT juga menjalinkan kerjasama melalui insiatif program komuniti tertumpu dan insiatif program kolaborasi industri.

Menerusi program komuniti tertumpu ini menyasarkan warga pertahanan dan ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) melalui projek Program Knowledge Transfer manakala program kolaborasi industri adalah kerjasama bersama KPT bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber teknologi luar merangkumi aktiviti penyelidikan, pembangunan dan latihan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan