BELANJAWAN 2025 > BERITA

China Seru Keselamatan Operasi Saluran Paip Gas Asia Tengah-China

02/12/2024 05:48 PM

BEIJING, 2 Dis (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- China percaya adalah penting untuk mengukuhkan kerjasama tenaga dengan Uzbekistan dan memastikan keselamatan operasi saluran paip gas Asia Tengah-China, lapor Sputnik memetik Menteri Luar China Wang Yi.

“Adalah penting untuk mengukuhkan kerjasama tenaga bagi memastikan bekalan gas yang stabil dari Uzbekistan ke China serta kelancaran operasi saluran paip gas Asia Tengah-China,” kata Wang dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Uzbekistan, Bakhtiyor Saidov di China.

Menteri China itu turut menyatakan bahawa 90 peratus projek kerjasama pelaburan keutamaan yang dikenal pasti oleh kedua-dua pihak tahun lepas telah dilaksanakan. Beliau menambah bahawa kerjasama antara wilayah kedua-dua negara semakin berkembang pesat.

“Kita perlu merebut peluang untuk mengembangkan dan mengukuhkan kerjasama dalam bidang utama serta meningkatkan pemodenan perjanjian perdagangan bebas dua hala bagi mewujudkan keadaan untuk memperluas dan meningkatkan kualiti perdagangan antara kedua-dua negara,” kata Wang.

Diplomat tertinggi China itu juga menekankan keperluan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan bagi memerangi keganasan, ekstremisme, pemisahan dan jenayah terancang rentas negara.

Kedua-dua menteri itu bertemu di luar Mesyuarat Menteri Luar China-Asia Tengah kelima di bandar Chengdu di barat daya China pada Ahad.

-- BERNAMA-SPUTNIK


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan