BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pemilihan Ewon Mantapkan Kerjasama PH-GRS - Hajiji

03/12/2024 05:57 PM

KOTA KINABALU, 3 Dis (Bernama) -- Pemilihan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang baharu diharap mampu memperkukuh kerjasama antara gabungan parti itu dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah mengucapkan tahniah kepada Ewon dan menegaskan kepentingan mengeratkan  hubungan antara kedua-dua gabungan parti berkenaan demi kebaikan rakyat Sabah.

"Tahniah kepada beliau (dilantik) menjadi Pengerusi (PH Sabah yang baharu). Kita harap hubungan kerjasama dan perpaduan antara parti-parti di Sabah terutama PH dan GRS terus mantap. Sebelum ini pun kita telah bekerjsama dan usaha ini wajar diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Daerah Tuaran 2024-2035 di sini hari ini.

Pada masa sama, Hajiji turut menzahirkan harapan bahawa gabungan parti dalam PH Sabah seperti DAP, PKR, UPKO dan Amanah, bersama-sama parti dalam GRS, akan dapat membentuk sinergi kukuh untuk membantu Sabah ke arah kemajuan.

Pada majlis sama, Hajiji turut melancarkan beberapa inisiatif penting termasuk Rangka Tindakan Transformasi Sosioekonomi Akar Umbi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman 2024-2030, Pelan Pemberdayaan Komuniti Nelayan Kampung Penimbawan serta aplikasi dan buku ReTrack.

Pada Ahad, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dipilih menggalas jawatan Pengerusi PH Sabah yang baharu bagi penggal 2024 hingga 2026 dalam mesyuarat agung parti itu.

Beliau menggantikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew yang telah menerajui PH Sabah sejak 2017.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan