BELANJAWAN 2025 > BERITA

Akta Koperasi Baharu Dijangka Dibentang Di Parlimen Tahun Hadapan - Ewon

05/12/2024 12:16 AM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Akta Koperasi baharu yang bakal digubal bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502), dijangka dibentang di Parlimen pada tahun depan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata proses pengggubalan akta itu, yang bakal melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk 16,000 koperasi sedia ada di negara ini, masih di peringkat libat urus dengan kumpulan sasaran.

“Sekarang masih di peringkat membuat dasar oleh pegawai, kumpulan sasaran serta beberapa pemegang taruh dan saya telah meminta agar perbincangan ini juga harus melibatkan gerakan koperasi.

“Saya sasarkan untuk bentang draf di peringkat dasar di Kabinet selewat-lewatnya hujung tahun ini manakala draf menyeluruh akta baharu itu kita mahu bawa ke Parlimen pada tahun hadapan,” katanya.

Ewon berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan projek ‘Rubber Park @KLCC’ di pekarangan Kompleks Bangunan Getah Asli di sini malam ini yang turut dihadiri Pengerusi Koperasi Lembaga Getah Malaysia Berhad (Kopget) Muhd Fandy Zainal Abidin.

Sebelum ini, Ewon berkata sebanyak 96 peruntukan asal Akta 502 akan disusun dan ditambah baik dan dianggarkan 200 peruntukan baharu akan dimasukkan dalam akta itu. 

Mengulas mengenai Rubber Park @KLCC, beliau percaya ia akan memberi nilai tambah komersial pelengkap kepada aktiviti pelancongan di persimpangan Jalan Ampang dan kawasan sekitarnya. 

Ewon berkata lebih membanggakan, projek itu dijayakan oleh gerakan koperasi dalam memenuhi keperluan setempat di kawasan segi tiga emas.

“Kuala Lumpur ini sentiasa menjadi tumpuan terutamanya pelancong dan sudah pasti selepas ini, ‘Rubber Park @ KLCC’ akan menjadi sebutan warga kota sebagai lokasi berlibur terutamanya pada hujung minggu mahu pun pada hari-hari biasa,” katanya yang berharap projek itu bakal tersenarai sebagai lokasi yang harus dikunjungi dalam masa terdekat.

Rubber Park @KLCC adalah projek yang mempunyai pelbagai unit perniagaan antaranya Klinik Rehabilitasi dan Fisioterapi Sukan (ProPain), kedai serbaneka, premis makanan dan cenderamata di sekitar bangunan KLCC.

Projek itu dibangunkan dengan kerjasama strategik antara Kopget dan Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (Koprojaya).  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan