PERLOMBONGAN REE BOLEH DILAKSANA, NAMUN TERTAKLUK LARANGAN EKSPORT
KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) boleh dilaksanakan di tempat-tempat lain namun tertakluk kepada pengharaman eksport yang berkuat kuasa di seluruh negara, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi perlombongan REE telah dipersetujui di peringkat Kabinet dan dikongsi dengan kerajaan-kerajaan negeri untuk dilaksanakan.
“Sebenarnya, kelulusan yang kita benarkan itu hanya untuk projek perintis yang dimulakan di Mukim Kenering, Perak, itu pun tidak diberikan secara spesifik kepada syarikat tetapi khusus kepada projek perintis tersebut.
“Mereka telah pun mulakan operasi perlombongan (REE) di peringkat perintis dan mereka telah ada satu stockpile (stok simpanan). Jadi atas sebab itu kita memberikan untuk tempoh dan jumlah yang tertentu untuk diberikan kebenaran eksport,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang bertanya sama ada syarikat yang bekerjasama dengan kerajaan negeri Kedah boleh memohon kelulusan daripada kerajaan supaya negeri Kedah dapat mengeksport karbonat nadir bumi (REC) seperti syarikat di Perak.
-- BERNAMA
KUALITI AIR SUNGAI MENINGKAT DARI 2019 HINGGA 2023 - NIK NAZMI
KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kualiti air sungai di seluruh negara menunjukkan peningkatan dalam tempoh 2019 hingga tahun lepas, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah memantau sebanyak 672 sungai melalui program pengawasan kualiti air sungai dengan 1,353 stesen pengawasan kualiti air sungai secara manual.
Katanya bilangan sungai dalam kategori bersih meningkat kepada 486 (72 peratus) daripada jumlah sungai yang dipantau pada 2023, berbanding 408 sungai (61 peratus) pada 2019, manakala sungai dalam kategori tercemar mencatatkan penurunan kepada 25 (empat peratus) pada 2023, berbanding 59 (sembilan peratus) pada 2019.
Nik Nazmi menjawab soalan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) yang ingin tahu sejauh mana usaha dan tindakan kementerian dalam mengatasi isu pencemaran sungai di seluruh negara serta adakah jumlah sungai tercemar menunjukkan penurunan dari tahun ke tahun pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
-- BERNAMA
JWP KERJASAMA DENGAN KUSKOP, PERKASA USAHAWAN MUDA, IBU TUNGGAL
KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk memperkasakan usahawan muda dan ibu tunggal di Wilayah Persekutuan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata usaha ini termasuk melalui Program Pemformalan Usahawan Informal yang direplikasikan daripada inisiatif KUSKOP, yang dijangka memanfaatkan seramai 2,000 usahawan.
“JWP turut merancang melaksanakan kerjasama strategik seperti padanan peserta bagi menyertai program yang ditawarkan oleh kerajaan, seperti penyertaan Usahawan Kecil JWP dalam program Satu Daerah Satu Industri yang dilaksanakan oleh KUSKOP,” katanya pada sesi soal jawab.
.Beliau menjawab soalan P. Prabakaran (PH-Batu) yang bertanya adakah JWP akan memperuntukkan dana dalam Belanjawan 2025 untuk pembangunan usahawan, terutamanya usahawan muda dan ibu tunggal di Wilayah Persekutuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial