BELANJAWAN 2025 > BERITA

PETRA Komited Perkukuh Nilai Integriti Melalui Ikrar Bebas Rasuah

03/12/2024 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi mengukuhkan komitmen terhadap integriti sempena Perhimpunan Bulanan kementerian itu di Putrajaya hari ini.

Majlis membaca ikrar diketuai oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan PETRA Amisam Ismail manakala Ketua Setiausaha PETRA Datuk Mad Zaidi Mohd Karli menandatangani IBR dengan disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki. 

Menerusi perkongsian SPRM di laman X, Fadillah berkata kerajaan memandang serius isu integriti dan nilai integriti perlu ada pada setiap insan.

“Sebagai contoh bagi orang Islam khususnya, kita melihat dalam konteks MADANI, ihsan adalah satu perkara yang menjadi tumpuan dalam negara kita.

“Memetik sabda Rasulullah SAW bermaksud 'Engkau beribadah kepada Allah SWT seolah-olah engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau.

“Itulah yang patut dipegang oleh kita, jadi kita sentiasa dipantau kalau tidak oleh SPRM, Allah sentiasa memantau kita.

“Kita berpegang kepada sabda Nabi ini dan insya-Allah, kita akan berada dalam keadaan selamat di dunia dan akhirat sebab apa yang kita laksanakan ini bukan untuk ganjaran di dunia tetapi lebih utama ialah ganjaran serta apa yang bakal kita terima di akhirat kelak,” katanya.

Hadir sama Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Samsul Salip.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan