BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kedah Bangunkan Mekanisme Baharu Pemberian Bantuan Banjir

04/12/2024 05:41 PM

ALOR SETAR, 4 Dis (Bernama) -- Kerajaan Kedah akan membangunkan mekanisme baharu pemberian bantuan kepada ketua isi rumah (KIR) yang terjejas banjir selepas mengesan ada mangsa yang mengambil kesempatan mendapatkan bantuan itu lebih daripada yang ditetapkan.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pihaknya mendapat laporan daripada pegawai daerah ada pasangan suami isteri mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) berbeza bagi mendapatkan RM1,000 yang diperuntukkan kepada setiap KIR.

“Kita dapat mengesan ada isi rumah dia duduk di banyak PPS, isteri daftar sana, suami daftar sini dan saya dimaklumkan oleh pegawai daerah ada beberapa kejadian seperti itu dikesan.

“Dalam (keadaan) banjir pun ambil kesempatan, tak bagus amalan itu. Saya rasa kali ini kita akan teliti perkara itu supaya ia tidak berlaku lagi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Kedah di sini hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Kedah menyalurkan Bantuan Komuniti Sejahtera (BKS) sebanyak RM1,000 kepada setiap KIR yang berpindah ke PPS ekoran kejadian banjir pada September lepas.

Muhammad Sanusi berkata pemberian bantuan pada kali ini juga akan diperluaskan kepada KIR yang tidak berpindah atas sebab tertentu seperti PPS penuh dan mereka yang dipindahkan atas faktor kerselamatan kerana terputus jalan perhubungan.

 Beliau berkata ada dalam kalangan penduduk yang kediaman mereka tidak dinaiki air tetapi tetap dianggap sebagai mangsa banjir jika laluan ke rumah mereka ditenggelami banjir yang menyebabkan mereka terpaksa berpindah.

Tambah beliau jumlah bantuan kepada setiap KIR yang terlibat banjir kali ini akan ditentukan kemudian selepas mendapat angka rasmi. 

“Kalau angka yang dikeluarkan oleh PKOB (Pusat Kawalan Operasi Bencana), di PPS jumlah keseluruhan mangsa adalah 11,046 orang dan KIR 3,574. Kalau kita ambil kira juga ketua isi rumah dan keluarga yang tidak berpindah mungkin lebih ramai,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata beliau difahamkan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan mengadakan lawatan kerja ke negeri ini pada Sabtu ini dan kerajaan negeri berhasrat mengemukakan permohonan peruntukan terutamanya berkaitan pembaikan infrastruktur yang terjejas banjir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan