BELANJAWAN 2025 > BERITA

APMM Terengganu Tubuh Skuad Bantuan Banjir

05/12/2024 06:57 PM

JERTIH, 5 Dis (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menubuhkan tiga Skuad Bantuan Banjir pada musim Monsun Timur Laut (MTL) ini.

Pengarahnya Kepten Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata setiap skuad mempunyai tujuh anggota yang bersedia membantu sekiranya diperlukan.

“Kita hanyalah elemen bantuan sahaja dan jika tenaga kita diperlukan, pasukan tersebut akan turun segera. APMM sentiasa bersiap siaga sekiranya terdapat keperluan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi melaksanakan bantuan banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 55 nelayan di Kuala Besut yang terjejas akibat banjir, di pejabat APMM Besut di Kuala Besut dekat sini hari ini.

Menurutnya APMM turut menyediakan bantuan aset untuk menghantar bekalan makanan ke pulau-pulau bagi kegunaaan penduduk sepanjang musim tengkujuh.

Mohd Khairulanuar berkata APMM tetap meneruskan penugasan di laut seperti biasa bagi mengawal keselamatan perairan negara meskipun laut bergelora dan angin kencang ketika ini. .

Sementara itu katanya APMM Terengganu merekodkan 51 kes tangkapan dari Januari hingga November tahun ini berbanding 37 tangkapan dalam tempoh sama tahun lepas.

“Ia antaranya melibatkan rampasan sebanyak 14 buah bot nelayan Vietnam dengan tangkapan 157 awak-awak, 18 kes tangkapan penyalahgunaan dadah, enam tangkapan bot penumpang dan satu tangkapan kapal dagang,” katanya.

Beliau turut menasihati komuniti maritim agar sentiasa peka dan merujuk ramalan cuaca sebelum keluar ke laut terutama nelayan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan