KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Dokumen Dasar Francais Negara 2030 (DFN 2030) akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata DFN 2030 merupakan satu dasar yang bersifat komprehensif dan holistik bagi membangunkan ekosistem francais yang berdaya maju dan mampan melalui transformasi dan pengukuhan jenama francais tempatan serta kecekapan tadbir urus.
"Ia merangkumi lima teras utama seperti menambah baik polisi dan tadbir urus, mempromosi francais sebagai model perniagaan pilihan dan memantapkan kapasiti dan keupayaan usahawan francais.
"Selain itu, mengoptimumkan capaian bantuan kewangan kepada usahawan francais dan meningkatkan akses ke pasaran domestik dan antarabangsa," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai statistik usahawan francais di Malaysia dan hala tuju pembangunan industri francais melalui penyelarasan dan kawal selia oleh KUSKOP ke persada antarabangsa.
Selain itu, Ewon berkata KUSKOP turut melaksanakan inisiatif pemutihan data francais selaras dengan pindaan Akta Francais 1998 (pindaan 2022) di bawah Seksyen 10A yang menetapkan pembaharuan pendaftaran francais setiap lima tahun.
Penetapan pembaharuan pendaftaran itu secara tidak langsung dapat membantu kementerian dalam mengawal selia perkembangan perniagaan francais di negara ini dengan lebih berkesan, katanya.
KUSKOP turut meningkatkan promosi francais tempatan di peringkat antarabangsa melalui Program Pengukuhan Francais (EFDP).
Sebanyak RM2.7 juta telah diperuntukkan untuk 2025 bagi program EFDP yang akan melibatkan penyertaan dalam pameran francais antarabangsa, padanan perniagaan, bayaran balik kos eksport untuk pendaftaran harta intelek di luar negara dan latihan persediaan bagi pengembangan perniagaan usahawan francais ke peringkat antarabangsa.
"Selain itu, kementerian juga mengadakan kerjasama strategik dengan Persatuan Francais Malaysia yang merupakan ahli Persekutuan Francais Asia Pasifik (APFC) dan Majlis Francais Dunia (WFC) dalam meningkatkan kebolehpasaran jenama francais Malaysia di peringkat global," kata Ewon.
Sementara itu, beliau berkata seramai 3,565 usahawan yang merangkumi 1,310 francaisor dan 2,255 francaisi telah direkodkan melalui Sistem Malaysia Franchise Express 2.0 (MyFEX 2.0) sehingga 31 Oktober.
Katanya pendaftaran syarikat francais di Malaysia dilaksanakan melalui Sistem MyFEX 2.0 yang merangkumi permohonan pendaftaran francaisor dan francaisi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial