BELANJAWAN 2025 > BERITA

Empat Program Keusahawanan PKNS Beri Impak Positif, Jana Jualan Hampir RM331 Juta

20/12/2024 11:06 AM

SHAH ALAM, 19 Dis (Bernama) -- Inisiatif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperkenalkan empat program keusahawanan memberi impak positif apabila berjaya mencatatkan nilai jualan keseluruhan hampir RM331 juta.

Program melibatkan 194 usahawan, iaitu Program Bina Bangun Usahawan (BizUp), Program Usahawan Siswazah (GROW), Program Usahawan Siswazah Lanjutan (GROW PLUS) serta Program Market Acceleration For Export and Retail Products (MEXPRO) itu berlangsung selama lapan dan 15 bulan bermula antara Mac 2023 hingga November lepas.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKNS Md Kamarzan Md Rais berkata perbadanan itu menerusi Bahagian Pembangunan Usahawan selaku badan pelaksana sentiasa menyokong dan menyahut dasar yang diperkenalkan kerajaan terutama melibatkan pengukuhan serta pemantapan bidang keusahawanan.

“Melalui program berkenaan, PKNS menyasarkan untuk melahirkan usahawan yang berdaya saing, mampu merancang dan melaksanakan strategi pemasaran serta jualan yang inovatif di samping meningkatkan kemahiran dalam pengurusan perniagaan.

"Menerusi program itu, peserta akan dibimbing melalui program pembangunan berstruktur yang teratur dan menyeluruh bagi memastikan usahawan mendapat panduan dan sokongan diperlukan untuk berjaya,” katanya ketika berucap pada majlis tamat program itu di sini hari ini.

Md Kamarzan berkata BizUp yang memfokuskan kepada usahawan berusia 21 hingga 45 tahun yang disertai 30 peserta telah merekodkan jumlah jualan lebih RM3.224 juta manakala GROW yang mengkhususkan pembangunan usahawan siswazah muda berumur 21 hingga 35 tahun mencatatkan jualan sebanyak RM10.162 juta, kedua-duanya untuk tempoh sepanjang lapan bulan.

Setakat ini katanya, sebanyak 483 peserta telah mengikuti program itu dengan jumlah hasil jualan keseluruhan syarikat dari 2006 hingga kini adalah sebanyak RM65.996 juta.

Beliau berkata GROW PLUS dan MEXPRO pula lebih menjurus kepada memartabatkan dan meningkatkan kualiti usahawan kategori industri kecil dan sederhana ke arah lebih berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa. 

Jumlah jualan bagi program GROW PLUS ialah RM47.808 juta manakala MEXPRO pula merekodkan jualan keseluruhan RM270 juta sepanjang 15 bulan pelaksanaan sejak Mac 2024, katanya.

Md Kamarzan berkata PKNS akan terus komited menyediakan platform untuk melahirkan lebih ramai usahawan berjaya yang akhirnya menyumbang kembali kepada kemajuan ekonomi negeri serta negara secara keseluruhan.

“Dengan objektif dan dasar yang jelas, perbadanan akan meneruskan inisiatif seumpama ini yang ternyata memberi impak positif dan berkekalan untuk terus membimbing individu berpotensi dengan ilmu keusahawanan yang kukuh,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan