KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) --Pemain boling elit negara Hafiz Zainuddin dan Gillian Lim membuktikan reputasi cemerlang mereka dengan menjuarai kategori lelaki dan wanita dalam Cabaran Gen Z bawah 25 tahun (B-25) pada Kejohanan Boling Remaja Antarabangsa All-Stars di Sunway Mega Lanes, Petaling Jaya, dekat sini hari ini.
Hafiz, 24, mendominasi saingan 14 pemain di peringkat akhir dengan persembahan bertenaga, mengumpul 2,326 jatuhan pin dalam 10 permainan untuk membawa pulang hadiah utama RM8,000.
Tempat kedua menjadi milik Cha Seung Been dari Korea Selatan dengan catatan 2,302 jatuhan pin, mengatasi Marc Custodio dari Filipina dengan perbezaan satu jatuhan pin.
Kejayaan ini menambah lagi pencapaian cemerlang Hafiz sepanjang musim 2024 selepas merangkul gelaran Terbuka Malaysia pada Mei lalu dan lima pingat di Kejohanan Asia pada September, termasuk emas dalam acara trio.
"Ini adalah satu kejohanan yang sangat kompetitif. Secara keseluruhannya, saya sangat gembira dengan perkembangan kerjaya saya setakat ini. Saya mahu terus memperbaiki prestasi tahun depan dan bersaing merebut tempat ke Sukan SEA dan Kejohanan Dunia,” kata Hafiz dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Gillian mengetuai kemenangan bersih pasukan Malaysia dalam kategori wanita selepas mencatatkan 2,315 jatuhan pin untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.
Dia mengatasi rakan senegara Anis Hannani Romzi dengan jumlah mata yang tipis menerusi 2,309 jatuhan pin, manakala Adania Redzwan pula melengkapkan kejayaan podium Malaysia dengan 2,218 jatuhan pin.
Bagi Gillian, 25, ini adalah gelaran ketiganya pada musim 2024 yang cukup cemerlang setelah berjaya mencipta kejayaan berganda dengan menjuarai Terbuka Malaysia dan Kejohanan Kebangsaan pada tahun yang sama.
"Menutup tahun ini dengan gelaran ketiga... saya benar-benar tidak boleh meminta lebih lagi. Ini sememangnya tahun terbaik saya sebagai pemain boling kebangsaan.
"Saya sangat gembira dapat bertanding dalam Cabaran Gen Z. Syabas kepada penganjur kerana memberi peluang kepada mereka yang sudah melebihi had umur untuk terus menyertai kejohanan ini,"* kata Gillian yang menamatkan saingan di tempat ketiga tahun lalu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial