KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Sebuah perusahaan sosial bernama 'Komuniti Tukang Jahit (KTJ)' terletak di pinggir bandar Ampang di Selangor sedang mengubah kehidupan wanita dalam kalangan B40 termasuk surirumah dan ibu tunggal yang menggunakan kemahiran menjahit mereka untuk menjana pendapatan dan mencapai kebebasan kewangan.
KTJ berperanan memperkasakan golongan wanita ini, produknya terdiri daripada barangan seperti lanyard (tali penyandang), pemegang kad nama, lengan baju hingga kepada produk kompleks seperti kantung (beg penyimpanan) komputer riba dan barangan korporat, ia adalah sesuatu yang menakjubkan apabila produk mereka berjaya menembusi pasaran global.
Usaha KTJ dilakukan pengasasnya, Yap Sue Yii, 32 yang menubuhkannya pada 2018, harus diberi pujian, kini ia mempunyai seramai 340 wanita daripada lima wanita sahaja apabila ia baru bermula sebelum ini.
Yap memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif KTJ berkata beliau memperkasakan wanita berpendapatan rendah dengan memberi mereka peluang untuk memperoleh pendapatan menerusi jahitan, semuanya dijalankan dengan selesa di rumah mereka.
Inisiatif ini membolehkan wanita golongan B40 menambah pendapatan isi rumah, pada masa sama mengimbangi tanggungjawab keluarga.
Ibu sebagai inspirasi
Ibu Yap, Ng Yin Mei, seorang suri rumah berusia 65 tahun menjadi inspirasi kepadanya untuk menubuhkan KTJ, Yap memberitahu bahawa ibunya adalah seorang yang berdedikasi dan aktif bekerja, ia telah meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya.
“Ibu saya sangat 'hands-on' dan suka melakukan sendiri projek dan kerap membawa saya untuk melakukan kerja amal ketika saya muda dulu.
"Jadi, saya sentiasa mendapat inspirasi daripada beliau," kata Yap kepada Bernama semasa majlis meraikan ulang tahun kelima KTJ.
Melihat potensi daripada apa yang ibunya lakukan untuk membantu wanita lain menambah pendapatan mereka, Yap sedar beliau boleh mewujudkan peluang untuk gologan ini yang mesra dipanggil "akak" untuk menambah pendapatan sambil menguruskan kerja rumah mereka.
Memperkasa wanita melalui kemahiran
Pada terasnya, misi KTJ adalah mudah iaitu memperkasakan wanita dengan memberi cara untuk menyumbang secara kewangan kepada keluarga tanpa mengabaikan peranan mereka di rumah.
Yap memberi tumpuan untuk memanfaatkan kemahiran menjahit yang sudah dimiliki oleh ramai wanita.
“Apabila KTJ bermula, kami tidak tahu apa yang kami mahu lakukan. Tetapi sejak awal, kami tahu...kami mahu memperkasakan komuniti B40.
"Kami menyedari mereka (tukang jahit dan golongan wanita) mempunyai kemahiran menjahit, jadi kami memutuskan untuk mendapatkan tempahan korporat untuk mereka, meningkatkan kemahiran mereka dan menyediakan latihan yang betul," katanya.
Semua latihan KTJ dijalankan secara dalaman, satu pasukan menilai kebolehan setiap tukang jahit dan berusaha untuk memperbaikinya.
Contohnya, jika tukang jahit mahir dalam menjahit pemegang kad nama, beliau mungkin dilatih untuk membuat item yang lebih kompleks seperti kantung atau lengan komputer riba yang menawarkan potensi pendapatan yang lebih tinggi.
Bermula hanya lima tukang jahit kini jumlahnya telah berkembang kepada lebih 340 wanita dengan kira-kira 50 hingga 60 tukang jahit terlibat secara aktif dan bersedia pada bila-bila masa.
Ramai yang telah mencapai keuntungan kewangan yang ketara dengan ada yang memperoleh pendapatan sehingga RM35,000 selama beberapa tahun dengan KTJ, kata Yap.
Merancang Masa Depan
Kejayaan KTJ sebahagian besarnya disebabkan oleh perkongsian kukuhnya dengan pelanggan korporat, menyumbang 80 peratus daripada jualannya.
Yap berkata pelanggan ini lazimnya menuntut barangan untuk lelaki dan wanita seperti lanyard, pemegang kad dan lengan komputer riba yang sesuai untuk acara dan hadiah korporat.
Kini, KTJ telah mencapai pasaran antarabangsa, menerima tempahan dari Singapura, Jepun dan Dubai.
“Pelanggan kami suka barang-barang ini mudah dibawa pulang oleh delegasi antarabangsa. Itulah sebabnya kami bekerja keras untuk kekal berdaya saing. Jika harga terlalu tinggi, pelanggan tidak dapat menyokong kami dalam jangka panjang tetapi jika harga terlalu rendah, kami tidak dapat mengekalkan kelangsungan perniagaan,” kata Yap.
Mengimbangi keuntungan sambil mengekalkan misi teras perusahaan sosial merupakan cabaran yang berterusan.
Menjalankan KTJ adalah mengenai mengurus komuniti dan bahagian perniagaan, katanya.
Pengembangan dan penambahbaikan
Melihat pada masa depan, KTJ menyasarkan untuk mencapai jualan RM1 juta menjelang akhir tahun ini.
Yap bersikap optimis, memberitahu bahawa KTJ bercita-cita tinggi dan mereka menyasarkan untuk berkembang lagi dan mendapat pengiktirafan.
Beliau berkata KTJ juga meletakkan sasarannya untuk berkembang ke lebih banyak pasaran antarabangsa menjelang suku ketiga tahun depan.
Selaras dengan permintaan yang semakin meningkat untuk produk mampan, KTJ sedang meneroka untuk melakukan penambahbaikan, seiring dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) korporat.
Yap membayangkan KTJ menukar bahan yang tidak digunakan kepada produk berfungsi seperti barangan korporat.
Ketika ditanya mengenai masa depan KTJ, Yap berkata dia berharap KTJ akan menjadi jenama global, menjual produk buatan tangan ke pasaran seluruh dunia.
“Produk kami tidak semestinya eksklusif untuk Malaysia. Mereka boleh bertemakan untuk negara yang berbeza tetap menyokong komuniti tersebut,” katanya.
Mencipta Perubahan Berkekalan
Impak KTJ melangkaui penyediaan pendapatan sampingan.
Inisiatif itu menawarkan wanita peluang untuk memperoleh kebebasan kewangan, meningkatkan harga diri mereka dan memberi penghargaan kepada wanita yang bekerja keras ini.
Kesannya akan merebak ke seluruh keluarga mereka, dengan anak-anak menyaksikan ibu mereka menyumbang kepada pendapatan isi rumah.
“Bagi kebanyakan wanita ini, ia bukan hanya mengenai wang. Ia adalah untuk diri mereka berkata...Saya melakukannya dan ini hasilnya. Ia mengubah cara mereka melihat diri mereka sendiri dan bagaimana keluarga mereka melihat mereka (menerusi kerja dilakukan dan pendapatan diperoleh),” kata Yap.
Dengan tumpuan yang jelas untuk memperkasakan wanita dan membina model perniagaan yang mampan, KTJ menawarkan peluang untuk lebih ramai wanita mencapai kebebasan kewangan menerusi kerja sebagai tukang jahit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial