KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan memudahkan pertukaran maklumat berkaitan tanggungjawab statutori syarikat penyedia perkhidmatan penerbangan.
Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata kerjasama ini bagi memastikan majikan dan pekerja industri penerbangan berdaftar dan mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).
“Melalui kerjasama ini, kami boleh membantu industri penerbangan dengan menganjurkan pameran pekerjaan atau program kerjaya tertentu. Dengan kerjasama MAVCOM dan industri penerbangan, kami berharap dapat membantu pencari kerja dalam sektor ini mendapatkan pekerjaan.
“Semasa pandemik COVID-19, industri penerbangan terjejas teruk, melibatkan kakitangan di lapangan hingga kru teknikal,” katanya dalam sidang media selepas majlis pemeteraian MoU yang ditandatangani Mohammed Azman dan Pengerusi MAVCOM Datuk Seri Saripuddin Kasim di Wisma Perkeso di sini hari ini.
Sementara itu Saripuddin berkata kerjasama antara MAVCOM dan Perkeso merupakan langkah penting ke arah memperkukuhkan pematuhan dalam industri penerbangan serta melindungi kebajikan tenaga kerja.
“Kami menggalakkan pekerja dalam sektor penerbangan yang berlesen dengan kami untuk melaporkan sebarang salah laku dengan selamat melalui borang pemberi maklumat yang tersedia di laman sesawang kami, www.mavcom.my.
“Platform ini direka untuk memenuhi aspek keselamatan dan kerahsiaan bagi pelaporan salah laku, ketidakpatuhan atau tingkah laku tidak wajar dalam industri penerbangan Malaysia. Sebagai pengawal selia ekonomi dan komersial dalam sektor penerbangan, kami akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk ketidakpatuhan,” katanya.
Sementara itu Mohammed Azman berkata Perkeso juga akan memperkenalkan National Career Exploration Centre (NPCEC) yang bakal dilancarkan tahun depan.
Beliau berkata NPCEC merangkumi tiga komponen utama iaitu pusat fizikal yang menyediakan perkhidmatan sokongan langsung, platform metasemesta NPCEC yang inovatif untuk penjelajahan kerjaya digital dan Karnival Kerjaya Metaverse yang memudahkan jaringan maya antara pencari kerja dan majikan.
“NPCEC akan berfungsi sebagai hab bantuan pekerjaan, menawarkan pandangan berharga mengenai pasaran buruh serta panduan peralihan untuk pelajar dan siswazah yang memasuki sektor penerbangan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial