BELANJAWAN 2025 > BERITA

LAPAN KOMPLEKS SUKAN DI PAHANG DINAIK TARAF

16/12/2024 08:05 PM

ROMPIN, 16 Dis (Bernama) -- Lapan kompleks sukan di Pahang dinaik taraf bagi memenuhi keperluan atlet dan golongan belia di negeri ini, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim. 

Beliau berkata langkah itu diambil oleh Kerajaan MADANI yang sentiasa komited dalam melaksanakan inisiatif strategik berkaitan belia dan sukan negara.

“Keseluruhan terdapat lapan (projek) di Pahang (yang sedang dan akan dinaik taraf), antaranya menaik taraf Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di Indera Mahkota, Kuantan bernilai RM25 juta yang dijangka siap pada Mei tahun depan.

“Selain itu, penaiktarafan Stadium Hoki Indera Mahkota bernilai RM3.5 juta dan penaiktarafan rumput Stadium Darul Makmur Kuantan bernilai RM500,000 sebagaimana ditawarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Siap Kerja Kompleks Rakan Muda Rompin (KRM) di sini hari ini.

Mengulas mengenai projek naik taraf KRM Rompin, Adam Adli berkata projek itu menelan belanja RM15.2 juta, meliputi dua komponen iaitu penaiktarafan kompleks sukan tersebut serta projek pembinaan benteng pemecah ombak.

"Kita harap, (penaiktarafan ini) bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh anak belia tempatan bahkan mereka yang berkunjung ke Rompin.

"Difahamkan di  kawasan ini (Rompin) ada pelbagai tarikan menarik antaranya pesta memancing yang mendapat sambutan ramai dan mereka boleh menggunakan kemudahan di KRM ini nanti," katanya.

Projek penaiktarafan KRM bermula pada Mac 2022 melibatkan pelbagai aspek, antaranya pembinaan sebuah bilik mesyuarat, menaik taraf gelanggang futsal, membaik pulih dewan utama dan menaik taraf kolam skuba.

Sementara komponen kedua melibatkan pembinaan benteng pemecah ombak sepanjang 500 meter yang bermula pada Ogos 2022 dan dikendalikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), yang bertujuan mengelak hakisan pantai berdekatan kompleks tersebut.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan