BERITA TERGEMPAR | PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | |
KOTA KINABALU, 18 Dis (Bernama) -- Tun Musa Aman yang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa pada 1 Jan 2025, pulang ke Kota Kinabalu hari ini.
Pesawat yang membawa Musa tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada pukul 12.02 tengah hari dan disambut oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Turut hadir menyambut ketibaan beliau ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim, Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Robert Tawik yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah.
Musa turut beramah mesra dengan orang ramai yang berkumpul di Terminal 2, KKIA yang terletak di Tanjung Aru di sini, bagi menyambut ketibaan beliau dan mengucapkan tahniah serta menyatakan sokongan kepada pemimpin itu.
Terdahulu perkarangan Terminal 2, KKIA dipenuhi petugas media yang mahu mendapatkan gambar dan perkembangan terkini mengenai bekas Ketua Menteri Sabah itu.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Musa dalam satu istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara, Kuala Lumpur.
Musa, 73, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah bagi tempoh empat tahun dari 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2028.
Pelantikan Ketua Menteri Sabah ke-14 itu adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Dis ini selepas menyandang jawatan tersebut selama empat penggal bermula 1 Jan 2011.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial