BELANJAWAN 2025 > BERITA

Presiden Turkmenistan Adakan Lawatan Rasmi Dua Hari Ke Malaysia

18/12/2024 01:25 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedow akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 18 dan 19 Dis, menandakan lawatan rasmi pertamanya sejak memegang jawatan pada Mac 2022.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri pada Rabu, Berdimuhamedow akan diiringi oleh enam timbalan perdana menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Rashid Meredov dan lima menteri Kabinet termasuk Menteri Pertahanan Maksat Babayev, Menteri Kebudayaan Atageldi Shamyradov dan Menteri Pertanian Charyyar Chetiyev, serta pegawai-pegawai kanan dari Pejabat Presiden dan Kementerian Luar Negeri.

Semasa lawatan itu, Berdimuhamedow akan diberi sambutan rasmi di Perdana Putra di Putrajaya pada 19 Dis, diikuti pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, kerjasama minyak dan gas, pendidikan tinggi, pelancongan dan keterhubungan,” menurut kenyataan itu.

Mereka juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Sementara itu, perdagangan antara Malaysia dan Turkmenistan menunjukkan pertumbuhan yang ketara.

Antara Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan melonjak 74.8 peratus kepada RM63.28 juta (US$13.90 juta) berbanding RM36.19 juta (AS$7.91 juta) dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pada 2023, Turkmenistan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah, dengan jumlah perdagangan bernilai RM48.62 juta (US$10.57 juta).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan