BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Usaha Mempelajari Amalan Terbaik China Dalam Pelaksanaan Peralihan Tenaganya

18/12/2024 02:19 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Malaysia berpeluang mempelajari dan menerima pakai amalan terbaik dari China bagi memajukan peralihan tenaga dalam rangka pembangunan ekonomi baharunya, untuk memastikan peralihan tenaga yang adil dan saksama sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), China berjaya merangkul pencapaian penting dengan kapasiti tenaga boleh diperbaharui berkembang pada kadar tahunan dianggarkan 12 peratus, dan bilangan kenderaan elektrik atas jalan raya merekodkan pertumbuhan kira-kira 20 peratus setiap tahun.

“Peningkatan penggunaan teknologi China, khususnya dalam bidang seperti kecerdasan buatan, blokchain dan Internet Benda (IoT), menetapkan duluan yang boleh diikuti Malaysia untuk meningkatkan landskap teknologinya sendiri.

“Kerjasama strategik dengan China akan membolehkan kami memanfaatkan kemajuan teknologi mereka untuk memacu pertumbuhan mampan di Malaysia dan kolaborasi kami adalah contoh utama bagaimana hubungan dua hala boleh memacu kemajuan yang bermakna,” katanya dalam ucaptama di Persidangan Kepimpinan, Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Akmal Nasrullah berkata Malaysia dan China sedang mempamerkan bagaimana matlamat bersama boleh membawa kepada inovasi dan hasil yang memberi kesan, melalui pelaburan dalam pengeluaran hidrogen hijau, kemajuan dalam penyimpanan tenaga dan kenderaan elektrik.

Beliau berkata malah semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China Jun lepas sempena 50 tahun hubungan diplomatik dua hala antara Malaysia dan China, tenaga bersih dan boleh diperbaharui adalah antara bidang kerjasama yang dikenal pasti dalam 14 memorandum persefahaman (MoU) dua hala yang ditandatangani.

Sebagai sebahagian daripada negara anggota ASEAN, Akmal Nasrullah berkata Malaysia secara aktif menyumbang kepada rangka kerja serantau seperti Pelan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga (APAEC), yang menyasarkan 23 peratus tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga rantau ini menjelang 2025.

“Kepimpinan kami terserlah dalam inisiatif seperti Lao PDR-Thailand-Malaysia-Singapore Power Integration Project (LTMS-PIP) yang membolehkan perdagangan elektrik pelbagai hala, mempamerkan nilai kerjasama tenaga rentas sempadan.

“Usaha ini menyerlahkan kepentingan kerjasama dalam mencapai matlamat kemampanan bersama dan usaha kolektif ASEAN dalam menangani cabaran iklim, memperkukuh potensi perkongsian serantau untuk memacu daya tahan dan pertumbuhan mampan merentas sempadan,” katanya.

Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 ini jelas memperingati 50 tahun jalinan persahabatan yang tidak berbelah bahagi antara Malaysia dan China, sebagai bukti perkongsian yang diasaskan atas sikap saling menghormati dan cita-cita bersama.

Sidang kemuncak anjuran Qube Integrated Malaysia ini meraikan sejarah yang kaya dengan pencapaian dalam bidang diplomasi, perdagangan, kerjasama ekonomi, pertukaran pendidikan, persefahaman budaya dan hubungan antara rakyat yang kukuh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan