PUTRAJAYA, 18 Dis (Bernama) -- Jordan merakamkan penghargaan atas sokongan dan sumbangan berterusan yang diberikan Malaysia kepada operasi bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza.
Duta Besar Jordan ke Malaysia Dr Ismael Maddallah Suliman Maaytah berkata bahawa pemimpin Jordan dan Malaysia sering bertukar pandangan mengenai isu pencerobohan di Gaza dan hak rakyat Palestin untuk membentuk sebuah negara merdeka.
Sejak permulaan serangan pada 7 Okt tahun lalu, Raja Jordan Raja Abdullah II telah terlibat secara aktif dalam forum antarabangsa dan perbincangan serantau untuk membantu merealisasikan gencatan senjata berkekalan di Gaza serta memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan kepada kanak-kanak, wanita dan mereka yang terjejas tanpa halangan, katanya.
"Ini adalah komitmen dan pendirian berprinsip Jordan untuk menamatkan konflik dan mewujudkan penyelesaian mutlak melalui penyelesaian dua negara untuk menubuhkan negara Palestin,” kata Maaytah kepada pemberita selepas menerima replika cek bernilai US$5 juta daripada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan di Wisma Putra pada Rabu.
Beliau turut menegaskan bahawa ini bukanlah kali pertama Malaysia memberikan sokongan kepada rakyat Palestin melalui Jordan.
Sumbangan terdahulu termasuk bantuan kepada Yayasan Kanser Raja Hussein dan Organisasi Kebajikan Hashemite.
Mengenai keperluan segera penduduk Gaza semasa musim sejuk, Maaytah berkata rakyat Palestin memerlukan barangan keperluan asas seperti makanan, bekalan perubatan, khemah, susu untuk kanak-kanak, peralatan hospital dan selimut, terutamanya dalam menghadapi cuaca buruk.
"Kekurangan ubat-ubatan amat ketara di hospital-hospital Gaza, banyak di antaranya telah musnah akibat serangan udara Israel, baik yang terkini mahupun sebelum ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial