BELANJAWAN 2025 > BERITA

MAHB Catat 11.2 Juta Pergerakan Penumpang Pada November, Hampir Paras Sebelum Pandemik

18/12/2024 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merekodkan 11.2 juta pergerakan penumpang merentasi rangkaian lapangan terbangnya pada November 2024, mencerminkan pertumbuhan kukuh 16.1 peratus berbanding angka pada November 2023, sekali gus mencapai 96.7 peratus daripada tahap sebelum pandemik.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, MAHB menjelaskan pergerakan penumpang antarabangsa menyumbang 54 peratus kepada jumlah trafik, melebihi bahagian trafik sebelum pandemik sebanyak 48 peratus dan mencatatkan peningkatan 9.1 peratus berbanding tahap sebelum pandemik dengan enam juta penumpang.

Momentum trafik yang kukuh itu disokong oleh operasi syarikat penerbangan baharu, pengenalan lima laluan baharu dan 42 kekerapan mingguan tambahan, jelasnya.

“Sektor domestik juga turut memberangsangkan, merekodkan 5.1 juta pergerakan penumpang, peningkatan 10.0 peratus berbanding angka pada November 2023, mencecah 85.4 peratus daripada tahap sebelum pandemik 2019,” menurut pengendali lapangan terbang itu.

Sementara itu, lapangan terbang di Malaysia yang diuruskan olehnya mengendalikan 7.7 juta pergerakan penumpang, peningkatan 15.8 peratus berbanding angka pada November 2023, mencecah 88.7 peratus daripada tahap sebelum pandemik.

Sektor antarabangsa berdaya tahan, mencatatkan 4.1 juta penumpang, didorong oleh operasi syarikat penerbangan baharu dan permulaan laluan baharu.

Pergerakan domestik pada November 2024 mencecah 3.6 juta penumpang, mencapai 83.4 peratus daripada tahap prapandemik.

Menurut MAHB faktor muatan purata bagi November 2024 ialah 78.8 peratus, peningkatan 5.4 mata peratusan, dengan kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan pada 82.9 peratus berbanding tahap sebelum pandemik.

“Dinamik yang menggalakkan bagi perjalanan udara ini mencerminkan permintaan yang optimistik, yang dijangka menyokong trajektori trafik yang positif untuk pemulihan,” katanya.

Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen (Istanbul SGIA) juga terus berkembang dengan mencatatkan pertumbuhan dua angka pada 16.6 peratus ketika tempoh yang lazimnya mengalami pertumbuhan rendah.

Istanbul SGIA merekodkan 3.5 juta pergerakan penumpang pada November 2024, mewakili peningkatan 20.7 peratus berbanding tahap sebelum pandemik, menurut MAHB.

“Pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik bagi kedua-dua sektor adalah teguh, mengekalkan faktor muatan purata yang tinggi melebihi 80 peratus masing-masing dengan 1.9 juta dan 1.6 juta penumpang, mencerminkan peningkatan masing-masing 24.3 peratus dan 8.6 peratus berbanding angka pada November 2023.” tambahnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan