BELANJAWAN 2025 > BERITA

RUU Wajibkan Pendidikan Hingga Sekolah Menengah Dibentang Di Parlimen Februari 2025

19/12/2024 12:48 PM

PUTRAJAYA, 19 Dis (Bernama)  --  Rang undang-undang (RUU) untuk meminda Akta Pendidikan 1996 bagi mewajibkan pendidikan hingga peringkat sekolah menengah dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Februari 2025.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata perkara itu juga telah selesai proses semakan di peringkat Jabatan Peguam Negara (AGC).

“…kita sudah ada dasar pendidikan sekolah rendah yang dengan adanya dasar tersebut kita mencapai enrolmen sangat tinggi iaitu antara 98 hingga 99 peratus.

“Dan dasar pendidikan wajib sekolah menengah ini maknanya kita nak zahirkan komitmen kita untuk memastikan tidak berlaku keciciran di sekolah menengah, khususnya menengah atas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Pada 4 Dis, dilaporkan AGC sedang menyemak draf RUU untuk mewajibkan pendidikan daripada peringkat rendah hingga menengah dalam usaha memastikan setiap kanak-kanak warganegara Malaysia mendapat akses pendidikan yang berkualiti tanpa mengira kepelbagaian latar belakang.

Lanjutan pendidikan wajib kepada 11 tahun persekolahan itu juga bagi memastikan murid menamatkan pendidikan menengah dengan kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan dalam bidang teknikal dan vokasional yang diiktiraf kerajaan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan