BELANJAWAN 2025 > BERITA

Presiden Turkmenistan Berlepas Pulang Selepas Lawatan Rasmi Dua Hari Ke Malaysia

19/12/2024 06:35 PM

SEPANG, 19 Dis (Bernama) -- Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedow berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Berdimuhamedow diberikan pelepasan permaidani merah dan kawalan kehormatan oleh pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Penerbangan Turkmenistan Airlines yang membawa Berdimuhamedow dan delegasinya berlepas ke Ashgabat pada 5.30 petang.

Turut hadir bagi mengucapkan selamat jalan ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Berdimuhamedow sejak memegang jawatan pada Mac 2022.

Terdahulu, Berdimuhamedow mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Susulan pertemuan itu, Malaysia dan Turkmenistan telah bersetuju untuk memperkukuh hubungan dan meneroka potensi ekonomi sepenuhnya berdasarkan kesetaraan dan manfaat bersama.

Ia termasuk dalam pelbagai sektor seperti minyak dan gas, tenaga, perdagangan, pelancongan, pendidikan tinggi, teknologi tinggi dan pembinaan kapasiti.

Lawatan berkenaan juga telah membawa kepada pemeteraian beberapa perjanjian penting yang akan membuka jalan untuk kerjasama lebih luas dalam pelbagai bidang.

Perdagangan antara Malaysia dan Turkmenistan menunjukkan pertumbuhan ketara, dengan jumlah dagangan melonjak 74.8 peratus dari Januari hingga Oktober 2024.

Nilai perdagangan itu meningkat kepada RM63.28 juta (US$13.90) berbanding RM36.19 juta (US$7.91 juta) pada tempoh sama tahun lepas.

Pada 2023, Turkmenistan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah, dengan jumlah perdagangan bernilai RM48.62 juta (US$10.57 juta).

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turkmenistan telah terjalin secara rasmi pada 1992.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan