BELANJAWAN 2025 > BERITA

RMK13 Laksana Intervensi Terus Hapuskan Miskin Tegar Di 10 Daerah - Rafizi

19/12/2024 08:36 PM

KOTA KINABALU, 19 Dis (Bernama) -- Kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan melaksanakan langkah intervensi terus miskin tegar di 10 daerah yang mencatat kadar kemiskinan tertinggi di negara ini dengan lapan daripadanya adalah di Sabah.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata langkah itu antara lain akan membangunkan kegiatan ekonomi mampan di daerah terbabit yang membolehkan penduduk menjana pendapatan seterusnya mengeluarkan mereka daripada kepompong miskin tegar.

Beliau berkata usaha mengeluarkan penduduk daripada belenggu kemiskinan tegar tidak sepatutnya bergantung sepenuhnya kepada pindahan wang tunai setiap bulan daripada jabatan atau agensi kerajaan yang terlibat.

“Sebelum ini, sebahagian besar pendekatan makro (untuk menghapuskan miskin tegar) tidak membezakan sangat daerah termiskin dan daerah-daerah lain.

"Melalui RMK13 ini, kita ada strategi khusus untuk campur tangan secara terus di daerah termiskin ini,” katanya pada sidang media selepas Sesi Libat Urus RMK13 bersama Kerajaan Negeri Sabah di sini yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri III  Datuk Shahelmey Yahya, mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Sebelum ini, dilaporkan terdapat lapan daerah termiskin di Sabah iaitu Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu manakala dua lagi ialah Pusa di Sarawak dan Lojing di Kelantan.

Hajiji dalam teks ucapannya yang dibacakan Shahelmey pula berkata Sabah meminta Kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur asas dan utiliti di negeri itu dalam RMK13.

“Penyediaan utiliti asas seperti bekalan air bersih dan elektrik yang lengkap terutama di kawasan luar bandar adalah aspek penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat selain dapat merangsang pelbagai aktiviti seperti pertumbuhan ekonomi serta pelaburan,” katanya.

Beliau berkata jurang pembangunan yang signifikan antara bandar dan luar bandar di Sabah adalah cabaran yang perlu diatasi secara kolektif dalam RMK13.

“Kerajaan negeri percaya bahawa pembangunan seimbang adalah kunci kesejahteraan masyarakat. Ini seiring dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memastikan setiap rakyat, tanpa mengira lokasi geografi, dapat menikmati manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan