Daripada Nursyabiha Sukri
BEIJING, 20 Dis (Bernama) -- Satu pengisytiharan mempertingkat tadbir urus bandar, “Deklarasi Beijing mengenai Pemodenan Tadbir Urus Bandar (2024)”, dikeluarkan pada Forum Beijing 2024 mengenai Tindak Balas Pantas Terhadap Aduan Awam, Khamis.
Pemimpin perbandaran Beijing bersama rakan sejawat mereka dari Madrid, Sepanyol dan San Jose, Costa Rica, melancarkan deklarasi itu sempena majlis penutup forum itu yang dihadiri lebih 500 peserta, termasuk delegasi antarabangsa, di Pusat Konvensyen Kebangsaan China.
Pengisytiharan itu menggabungkan konsensus antarabangsa terkini Pakatan untuk Masa Depan, yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak Masa Depan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, serta perjanjian antarabangsa baru-baru ini yang dibina berdasarkan Deklarasi Beijing 2022.
Deklarasi Beijing mengenai Pemodenan Tadbir Urus Bandar (2024) menggariskan beberapa cadangan yang bertujuan untuk menambah baik bandar termasuk Pembangunan Berpusatkan Rakyat, Menjadikan Bandar Lebih Baik; Kedaulatan Undang-undang, Menjadikan Bandar Lebih Adil; Kepelbagaian dan Keterangkuman, Menjadikan Bandar Lebih Mesra.
Lain-lain termasuk Tadbir Urus Didorong Permintaan, Menjadikan Bandar Lebih Responsif; Pemerkasaan Perisikan Digital, Menjadikan Bandar Lebih Pintar; Pembinaan Daya Tahan, Menjadikan Bandar Lebih Selamat; Kerjasama Pelbagai Pihak, Menjadikan Bandar Lebih Harmoni; Pemuliharaan Ekologi, Menjadikan Bandar Lebih Cantik; dan Pertukaran Budaya dan Pembelajaran Bersama, Menjadikan Bandar Lebih Terbuka.
Pada sesi penutup forum bertajuk “Kisah Saya tentang Tindak Balas Pantas Terhadap Aduan Awam”, peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk ahli akademik, media, badan perundangan dan komuniti akar umbi, berkongsi pandangan peribadi tentang cabaran dan penyelesaian tadbir urus.
David Moser, seorang profesor madya di Institut Kebudayaan Antarabangsa, Capital Normal University, berkata talian hotline Beijing 12345 menyediakan maklumat terkini, paling komprehensif dan berwibawa kepada warga asing.
"Publisiti dan promosi talian hotline perlu diperkukuhkan di kawasan awam seperti balai ketibaan antarabangsa lapangan terbang," katanya.
Wing Yan Chan, ahli Persekutuan Belia Seluruh China, berkata model talian hotline juga boleh digunakan di Hong Kong dan bandar lain, membolehkan mereka bekerjasama dalam membina pangkalan data yang lebih besar dan menggunakan sepenuhnya data besar.
Anton Bogs, seorang felo penyelidik di Freie Universität Berlin dan sarjana pelawat di Sekolah Kerajaan, Universiti Peking, dalam membuat perbandingan mengatakan bahawa Jerman juga mempunyai talian hotline rakyat tetapi ia tidak memberikan bantuan komprehensif yang ditawarkan oleh talian hotline Beijing.
Huang Qingxian, seorang profesor di Sekolah Kerajaan Zhou Enlai, Universiti Nankai, berkata talian hotline Beijing telah mewujudkan standard dan model yang sangat baik untuk sistem dan penyelesaian tadbir urus bandar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial