BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tol Percuma Sempena Krismas Pada 23 Dan 24 Dis - Nanta

21/12/2024 10:22 AM

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Pengguna lebuh raya di seluruh negara akan menikmati tol percuma pada 23 dan 24 Dis ini sempena perayaan Hari Krismas.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan hari ini memaklumkan tol percuma akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya bermula 12.01 tengah malam Isnin ini (23 Dis) hingga 11.59 malam, 24 Dis (Selasa).

Bagaimanapun, beliau berkata pengecualian tol itu hanya diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua plaza tol, kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.

“Kerajaan MADANI telah bersetuju untuk memberikan tol percuma kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja selaras dengan aspirasi 'MADANI di Hati, Rakyat Disantuni' sempena perayaan Hari Krismas 2024.

“Implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM38 juta,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Nanta berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan pengecualian tol itu dengan sebaik-baiknya dan merancang perjalanan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas semasa musim cuti. 

Beliau menasihatkan pengguna mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan untuk meningkatkan aspek keselamatan dalam pengalaman pemanduan supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat bagi memaknai pengertian sambutan perayaan kali ini.

“Pengguna juga dinasihatkan untuk menjaga kesihatan dan kesegaran tubuh badan bagi pengalaman pemanduan yang selamat, memastikan kondisi kenderaan dan tayar kenderaan sentiasa baik serta baki kad Touch 'n Go serta eWallet yang mencukupi.

“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan papan tanda dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS). Penunggang motosikal juga dinasihatkan untuk berhati-hati terutama semasa trafik tinggi di lebuh raya,” katanya.

Nanta turut menyarankan pengguna lebuh raya untuk menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya yang dikemas kini melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook (Lembaga Lebuhraya Malaysia), aplikasi X (@LLMtrafik) serta TikTok (@llmtrafik).

Beliau berkata pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat trafik terkini atau bantuan. 

“Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV (kamera litar tertutup) di semua lebuh raya, pengguna juga boleh melayari laman sesawang LLM di https://www.llm.gov.my. Di samping itu, maklumat keadaan trafik juga boleh diperoleh melalui WhatsApp Channel LLM Info Trafik,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan