BERITA TERGEMPAR   PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | 
 BELANJAWAN 2025 > BERITA

Keluarga Bersyukur Dua Nelayan Hilang Ditemukan Selamat

22/12/2024 02:23 PM

BALIK PULAU, 22 Dis (Bernama) -- Keluarga dua nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka hanyut di perairan Kerachut, Kuala Sungai Pinang dekat sini, bersyukur kerana kedua-dua mangsa itu ditemukan selamat di perairan Acheh, Indonesia hari ini.

Ismail Ibrahim, 51, bapa  kepada Muhammad Ikmal Hakimi berkata dia dihubungi pihak polis kira-kira 10 pagi ini memaklumkan penemuan anaknya dan rakan di peraian Acheh dalam keadaan selamat.

"Allahuakhbar, hanya itu saya dapat ungkapkan dan dalam masa sama saya melakukan sujud syukur kepada Allah apabila dapat berita mereka selamat dan kami dimaklumkan yang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam perjalanan untuk membawa mereka pulang ke negara ini.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, ibunya Hanita Ismail, 47, berkata dia yakin anak keempat daripada lima beradik itu  masih hidup.

"Itulah dikatakan naluri seorang ibu, memang kami sangat bersyukur kepada Allah yang memakbulkan doa kami dan kita semua," katanya.

Mohamad Fitri Badiuzzaman, 38, bapa tiri kepada Nor Hasrul Abdullah juga berkata mereka sekeluarga bersyukur selepas dimaklumkan anaknya itu ditemukan selamat dan ketika ini tidak sabar menanti kepulangannya.

"Alhamdulillah, Allah dengar doa-doa kami agar dia ditemukan selamat...kalau tanya perasaan memang bersyukur dan gembira sangat. Ini hari paling gembira untuk kami," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam memaklumkan Muhammad Ikmal Hakimi, 22, dan Nor Hasrul, 25, yang dilaporkan hilang pada 16 Dis lepas ditemukan selamat di perairan Acheh, hari ini.

Sazalee Adam berkata ketika ini APMM sedang berusaha untuk membawa pulang mereka di sempadan dan dijangka tiba di Jeti Batu Maung di sini, awal pagi esok.

Semalam, Sazalee memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan berkenaan dihentikan pada 5 petang selepas tiada sebarang petunjuk ditemukan untuk mengesan mereka selepas pasukan keselamatan menjalankan operasi SAR selama lima hari meliputi kawasan seluas 4,802 batu nautika atau 8,884 kilometer persegi, namun gagal menemukan kedua-dua mangsa dan bot mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan