BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perjanjian Perdagangan Bebas China-Serbia Buka Lembaran Baharu Kerjasama Bilateral

23/12/2024 03:03 PM

SHANGHAI, 23 Dis (Bernama-CMG) -- "Kami sangat berbangga dengan Perjanjian Perdagangan Bebas Serbia-China yang sudah berkuat kuasa bermula Julai tahun ini, yang dilihat sebagai satu peluang besar bagi sektor korporat Serbia untuk meningkatkan penglibatan terbabit secara aktif. Ini juga dilihat satu cabaran bagi ekonomi Serbia yang perlu memenuhi permintaan China dari segi baik kualiti mahupun kuantiti. Peluang yang begitu banyak bukan sahaja kondusif bagi Serbia melakar pencapaian ketara dalam pembangunan ekonomi, tetapi juga boleh dimanfaatkan banyak syarikat domestik dalam mempelopori pasaran."

Demikian dinyatakan Perdana Menteri Serbia Milos Vucevic ketika menyertai Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) 2024 semasa lawatan di sini pada bulan lalu.

"Dalam tempoh lawatan saya di Shanghai, saya memilih melakukan kunjungan ke sebuah syarikat automotif tempatan yang sudah mempunyai dua kilang di Serbia dan yang ketiga pun akan dibuka tidak lama lagi. Syarikat itu boleh membawa teknologi canggih dan peralatan yang maju ke Serbia.

"Apa yang kami perlukan ialah pelaburan yang boleh membawa teknologi, ketukangan dan nilai ekonomi yang hebat. Itulah sebabnya kami ingin mengukuhkan kerjasama dalam industri automotif serta bidang yang berkaitan dengan kecerdasan buatan, robot, automasi dan sebagainya. Kami berharap dapat menghantar pekerja kami ke China untuk belajar dan berkembang bersama dengan China," kata Vucevic. 

Serbia adalah antara negara Eropah yang pertama yang membina komuniti berkongsi nasib dengan China. Sehubungan itu, Vucevic berkata, "Ini adalah kali pertama sebuah negara Eropah menjalin hubungan sedemikian dengan China. Presiden China Xi Jinping dan Presiden Aleksandar Vucic telah menandatangani perisytiharan bersama untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang pembuatan, sains, pendidikan, sukan, kebudayaan dan ekonomi."

"Rakan China sentiasa memfokuskan pada masa depan yang kita miliki bersama serta projek yang saling menguntungkan dan sama menang."

Dalam kerangka kerjasama pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), syarikat China telah mengambil bahagian dalam banyak projek pembinaan infrastruktur di Serbia.

Mengulas lanjut, PM Vucevic berkata bahawa pada keseluruhannya projek berkenaan telah mendorong kemajuan Serbia terutamanya menyumbang kepada peningkatan kualiti kehidupan rakyat di negaranya.

"Semua pelaburan ini telah menggalakkan secara langsung peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar dan pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh dan selanjutnya mendorong peningkatan gaji dan pencen. Memandangkan kesan positif yang merangkumi segenap aspek itu, kami sanggup meneruskan kerjasama dalam pelaksanaan projek baharu," tambah beliau.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan